Categories
SELANGOR

Kayuhan Merdeka DUN Sungai Pinang meriah

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 31 OGOS: Sambutan Hari Kemerdekaan ke-59 di DUN Sungai Pinang berlangsung meriah apabila lebih 300 peserta menjayakan Program Kayuhan Merdeka, hari ini.

Kayuhan yang turut membabitkan penduduk di DUN Sementa menyaksikan orang ramai berkayuh sejauh 10 kilometer (km) melalui Kampung Sungai Pinang Bandar, Kampung Rantau Panjang dan Kampung Batu Tiga.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Pinang, Dato’ Teng Chang Khim berkata, selain membangkitkan semangat patriotik, program itu juga mampu memupuk minat orang ramai menggunakan basikal untuk ke stesen pengangkutan awam seperti kereta api dan lain-lain.

“Selain menyambut hari merdeka, kita harap program ini dapat memupuk warga Sungai Pinang menggunakan basikal sebagai salah satu pengangkutan utama kerana Kerajaan Selangor pada masa ini menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

“Basikal boleh menjadi pengangkutan dalam batuan pertama dan batuan terakhir bagi perjalanan mereka yang menggunakan pengangkutan awam ke tempat kerja,” katanya juga Exco Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, Industri Kecil & Sederhana (IKS) dan Pengangkutan.

DSC_0727 kecilChang Khim berkata, aktiviti itu juga boleh dijadikan sebagai riadah waktu lapang dengan melalui beberapa jalan kampung tradisi yang terdapat di situ.

Terdahulu, ADN Sementa yang juga Exco Kesihatan, Kebajikan dan Pembangunan Wanita & Keluarga, Dr Daroyah Alwi melepaskan sekumpulan peserta di Kampung Rantau Panjang.

Kumpulan berbasikal itu kemudiannya bergabung dengan satu lagi kumpulan diketuai Chang Khim bagi membentuk kumpulan besar sebelum berkayuh melalui tiga kampung terlibat.

-AA-