Categories
SELANGOR

Kongsi derita, warga Rohingya aman di Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SELAYANG, 31 OGOS: Walaupun mendapat pembelaan sewajarnya daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia, namun warga Rohingya, Reazul Haq Mufti Abdul Man Nan tidak pernah melupakan kisah duka di bumi kelahirannya, Myanmar.

Beliau berkata, walaupun negaranya sudah mengecapi kemerdekaan, namun kehidupan juga hak asasi etnik itu tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

“Negara kami merdeka, tetapi kami dinafikan kehidupan dan hak asasi oleh pemerintah zalim. Kami dihalau dari tanah sendiri.

“Kami sepatutnya boleh tinggal di negara kami kerana tanah kami dianggap sebagai ‘bunga’ dengan nilai cukup tinggi,” katanya pada program Ambang Merdeka peringkat Dun Taman Templer di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang, di sini, malam tadi.

Reazul yang kini menetap di Subang turut menzahirkan rasa syukur apabila nikmat kemerdekaan di negara ini dapat dirasai seluruh rakyat Malaysia.

Walaupun kurang fasih berbahasa Melayu, beliau yang menetap di sini sejak empat tahun lalu tidak pernah terhenti untuk kembali ke tanah airnya, menikmati erti pembebasan sebenar.

DSC_0300Berkongsi keperitan dilaluinya, Reazul Haq turut mendeklamasikan puisi pembebasan dalam bahasa Rohingya, menuntut kebangkitan komuniti dan masyarakat sosial untuk membantu golongan itu.

Sebelum ini, berlaku krisis kuasa dan pembunuhan umat Islam Rohingya oleh puak Rakhine yang menjadi mangsa kezaliman dan kekejaman di negara yang mempunyai kira-kira 135 etnik itu.

Masyarakat Rohingya didakwa kononnya mahu merampas tanah serta cuba memiliki kuasa melalui pertambahan populasi di Myanmar.

-AA-