Categories
SELANGOR

Konsisten jalani latihan, tingkat prestasi atlet – Raja Muda

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 OGOS : Kejayaan manis atlet Selangor pada kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) menjadi titik permulaan kepada semua atlet untuk lebih maju dan memperoleh kejayaan lebih besar.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, atlet muda perlu terus konsisten untuk menjalani latihan dan mengamalkan disiplin  diterapkan sepanjang latihan.

“Beta ucapkan tahniah atas usaha gigih yang anda lakukan, kamu melakukannya dengan cukup baik. Beta berbangga dengan penglibatan semua atlet dan pegawai.

“Namun kejayaan ini hanyalah permulaan kerana dengan usia yang masih muda, teruslah memberi tumpuan dan mengekalkan disiplin untuk menjadikan kamu lebih hebat,” titah Raja Muda.

pasukan gymnastik selangorBaginda Raja Muda bertitah, atlet juga disaran supaya tidak berputus asa dan sentiasa optimis untuk menonjolkan prestasi persembahan terbaik dalam setiap kejohanan disertai.

“Jangan mudah berputus asa kerana apa yang membezakan seorang atlet dengan juara adalah kemampuan individu itu untuk terus mempamerkan kemampuan diri.

“Beta berharap dengan kejohanan SUKMA ini, setiap atlet akan lebih terbuka mengenali kenalan baru untuk lebih berdaya saing dalam sukan yang kamu ceburi.

“Semoga kamu terus menikmati kejayaan ini pada masa akan datang,” Titah baginda Raja Muda yang sebelum ini turut mencemar duli mengikuti beberapa acara yang melibatkan melibatkan penyertaan atlet Selangor, antaranya acara renang dan olahraga.

Semalam, kontinjen Selangor menamatkan misi #TEKADJUARA kejohanan SUKMA apabila berjaya menjuarai kejohanan sukan yang mengetengahkan bakat-bakat muda dari seluruh negara.

Kontinjen Selangor berjaya membawa pulang 59 kutipan Emas, 73 Perak dan 62 Gangsa.

Persembahan terbaik kontinjen Selangor dicatatkan menerusi sukan renang dengan kutipan 20 pingat emas.

Kontinjen Sarawak berada di tangga kedua dengan kutipan 57 Emas, 40 Perak dan 57 Gangsa, sementara Terengganu berada di kedudukan ketiga dengan kutipan 45 Emas, 40 perak dan 40 Gangsa.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.