Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

#KosmoPerluMintaMaaf banjiri media sosial

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 18 OGOS: Laporan muka depan akhbar Kosmo hari ini bertajuk “Peng Soon-Liu Ying hampakan jutaan rakyat Malaysia” menimbulkan reaksi kurang senang pengguna di laman sosial.

Rata-ratanya mengkritik penulisan akhbar tempatan berkenaan dengan hashtag #KosmoPerluMintaMaaf ekoran laporan seakan merendahkan kemampuan pasukan beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying yang meraih pingat perak di Rio de Janeiro.

Laluan gandingan negara itu tewas straight set, 21-14 dan 21-12 kepada Indonesia dalam peringkat akhir, awal pagi Khamis (waktu Malaysia).

Menulis di Facebook, Ronny Pan berkata, beliau tidak tergolong dalam jutaan rakyat Malaysia yang hampa terhadap keputusan itu, sebaliknya tetap berbangga dengan kemampuan dua atlet berkenaan.

Seorang lagi pengguna dikenali sebagai Min Jane berkata, Kosmo membuat kesilapan besar dalam menyiarkan laporan berkenaan sekali gus menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia.

“No doubt Kosmo is stupid. Malaysian united because of your stupidity, glad to see every angry comments at you post (Tidak syak lagi Kosmo adalah bodoh. Rakyat Malaysia bersatu padu kerana kebodohan anda, senang hati melihat kemarahan semua terhadap laporan anda),” tulisnya.

Lockman Lum pula menulis, “I’m not sure it is racist of not, but seriously dissapointed to see this thing happened (Saya tidak pasti adakah ia bersifat perkauman atau tidak tetapi saya kecewa melihat perkara ini berlaku),” katanya.

FBSelain itu, Deejay Zainey menggesa Kosmo dan wartawan yang menulis artikel terbabit supaya memohon maaf kepada semua rakyat malaysia.

“Kami rakyat Malaysia amat berbangga dengan pencapaian beregu campuran Peng Soon dan Liu Ying. (Kosmo) tiada etika langsung! Tolong viralkan…terima kasih,” katanya.

Sehingga kini, serangan menggunakan hashtag berkenaan di Facebook dan Twitter rasmi Kosmo Online masih berjalan.

Tidak ketinggalan, Berita Harian turut dikecam ekoran menyiarkan laporan bertajuk “Peng Soon-Liu Ying sekadar raih perak.”

Malaysia masih berpeluang mencari pingat emas pertama Olimpik menerusi acara beregu lelaki apabila Goh V Shem-Tan Eee Kiong akan beraksi menentang Fu Haifeng and Zhang Nan dari China di final, Jumaat ini.

Datuk Lee Chong Wei juga masih pada landasan tepat memenuhi impian emasnya apabila akan berdepan musuh tradisinya dari China, Lin Dan di separuh akhir, juga pada Jumaat.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.