Categories
SELANGOR

MBPJ rangka penambahbaikan atasi kesesakan lalu lintas Jalan Utara

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 26 OGOS: Kesesakan lalu lintas di Jalan Utara, di sini, akan diatasi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) secara berperingkat melalui beberapa penambahbaikan dirancang.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, R Rajiv, berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memutuskan akan memanggil semula pihak perunding bagi menjalankan kajian dan mencadangkan penyelesaiaan bagi masalah berkenaan dalam mesyuarat minggu lalu.

Katanya, kawasan lalu lintas di Jalan Utara yang kini laluan sehala menjadi tumpuan ekoran terdapat banyak pejabat dan kilang di simpang Jalan 223 dan Stesen Aliran Transit Ringan (LRT) Asia Jaya di situ.

Rajiv“Satu alternatif difikirkan ialah membina satu jejantas di hadapan Stesen LRT bagi menggantikan lintasan jalan raya sedia ada.

“Ia akan membabitkan jumlah belanjawan baru dan akan dibincangkan bersama MBPJ termasuk Prasarana Berhad kerana ia turut berkaitan dengan LRT,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam masa terdekat perbincangan akan dijalankan bersama MBPJ dengan sedikit perubahan kepada lampu isyarat sedia ada bagi mengurangkan kesesakan di situ.

Katanya, kesesakan di kawasan laluan sehala itu berlaku apabila kenderaan yang datang dari arah Lebuhraya Persekutuan dan Jalan Barat bertembung ketika memasuki Jalan Utara.

“Jumlah kenderaan agak tinggi menyumbang kepada kesesakan di sini untuk ke simpang Jalan 223 hingga ke hadapan Stesen LRT Asia Jaya. Kesesakan lalu lintas juga berlaku apabila orang ramai menggunakan lintasan jalan raya di sini,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.