Categories
SELANGOR

Merdeka: Kekalkan perpaduan dalam kalangan rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 31 OGOS: Perpaduan dan kehidupan harmoni berjaya dibina dalam kalangan rakyat berbilang bangsa di negara ini, menimbulkan kesedaran kepada semua pihak supaya ia terus dikekalkan dan menjadi lebih baik.

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-59 tahun ini, rata-rata ditemui melahirkan kegembiraan atas kemajuan dicapai Malaysia hasil gandingan rakyat untuk menjayakannya.

Ahmad Azwan Ahmad Zamzuri, 38, berkata kemerdekaan dinikmati berjaya menyatukan rakyat yang inginkan negara ini terus maju dan berjaya.

“Perpaduan kaum adalah seperti resepi membabitkan pemimpin dan masyarakat dipimpin yang mana bersama kita berusaha membina kehidupan baik tanpa mengira warna kulit dan pegangan agama,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Begitu juga Abdul Rashid Abdullah, 39, berpandangan kehidupan rakyat penuh aman damai diperoleh membuktikan perpaduan dibentuk menjadi semakin baik dari semasa ke semasa.

“Rakyat semua bersatu padu dan perpaduan bangsa di negara ini amat baik dan berjaya mewujudkan kehidupan penuh aman,” katanya.

Jpeg

Tan Boon Yik, 55, pula menjelaskan semoga segala dibina hari ini berjaya dikekalkan untuk melihat Malaysia lebih cemerlang pada masa akan datang.

“Kemerdekaan ini menyaksikan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama bersama berganding bahu membentuk perpaduan juga kehidupan baik di negara ini dan diharapkan tertanam semangat patriotik di dalam jiwa setiap rakyat serta tiada lagi unsur perkauman,” katanya.

Bagi D Douglas, 57, kemakmuran negara tidak dibentuk dalam sekelip mata dan segala diraih hari ini sewajarnya dipertahankan generasi masa kini.

“Kita dapat lihat Hari Kemerdekaan disambut dengan pembabitan semua kaum dan ini menggambarkan kehidupan penuh muhibbah rakyat.

“Semoga ia menjadi lebih baik dan negara lebih maju pada masa depan,” katanya.

-AA-