Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Jejak berliku, jalan tokoh utama Selangor berjasa bina Kuala Lumpur

SHAH ALAM, 31 OGOS: Kuala Lumpur asalnya ibu negeri Selangor, sebelum Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj berkorban menyerahkan wilayah strategik itu sebagai ibu negara Malaysia pada 1974.

Kerajaan persekutuan waktu itu berjanji tidak memadam sejarah asal Selangor termasuk nama jalan dan binaan penting warisan negeri bagi mengenang jasa Baginda.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah nama-nama jalan itu harus dipelihara dan dipulihara apabila Jalan Raja Laut 1 cuba ditukar nama kepada Jalan Palestin tahun lepas.

Hakikatnya Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah sudah bertitah agar nama-nama jalan di bandar besar itu ditukar kepada bahasa Melayu. Sejumlah nama dicadangkan untuk diluluskan pada 1938.

Wartawan NADIAH ZAMLUS bersama jurufoto HAFIZ OTHMAN dan FIKRI YUSOF mengimbas kembali ketokohan, sumbangan dan peristiwa di balik nama-nama jalan tersebut bersempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

1. Jalan Sultan Abdul Samad

  • Sultan Abdul Samad, sultan Selangor keempat (1857-1898)
  • pada 1880, Baginda isytihar Kuala Lumpur, sebelumnya Klang, sebagai ibu negeri Selangor
  • Kuala Lumpur waktu itu lebih kurang sebesar kawasan Chow Kit atau Raja Bot ke Kampung Attap di selatan
  • pada zaman pemerintahan Baginda, bendera dan jata negeri diperkenalkan
  • Baginda membina landasan kereta api menghubungkan Kuala Lumpur dan Klang pada 1890
  • selain Bangunan Sultan Abdul Samad, nama baginda diabadi di sekolah dan perpustakaan

    Penunggang motorsikal melalui Jalan Sultan Sulaiman yang terletak di bersebelahan stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM)

2. Jalan Sultan Sulaiman

  • sempena nama Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah, sultan Selangor kelima (1898-1938)
  • putera Raja Muda Musa, Baginda cucunda Sultan Abdul Samad
  • mula gubal Undang-undang Tubuh Negeri Selangor untuk selesai isu pewarisan takhta, namun mangkat sebelum ia berjaya dilaksanakan
  • pernah usul penubuhan pasukan tentera udara dalam Persidangan Raja-Raja Melayu
  • dikenali kuat beragama, Baginda mengarang kitab agama dan membaca khutbah
  • jalan raya, landasan kereta api dan rumah kedai banyak dibina di Kuala Lumpur, negeri maju daripada hasil bumi seperti bijih timah dan arang batu

 

Suasana malam Jalan Sultan Hishamuddin, dihadapan Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM)

3. Jalan Sultan Hishamuddin

  • Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj, sultan Selangor keenam (1938-1942 dan 1945-1960)
  • ketika kependudukan Jepun, Baginda diganti kekandanya Tengku Musauddin sehingga 1945
  • Baginda dimasyhur kembali selepas Jepun kalah
  • tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu pada 1948, termasuk Selangor sebagai sebuah negeri anggotanya
  • mangkat empat bulan selepas dilantik Yang di-Pertuan Agong kedua pada 1960

 

Penunggang motorsikal melalui gerbang Jalan Raja Muda Musa, di Kampung Baru, Kuala Lumpur

4. Jalan Raja Muda Musa

  • sempena nama Raja Muda Musa, sultan Selangor ketujuh bergelar Sultan Musa Ghiathuddin Riayat Shah (1942-1945)
  • putera sulung Sultan Sir Alaeddin, Baginda banyak bantu kaum kerabat yang bermasalah ketika penaklukan Jepun
  • sebelum ditabal sebagai sultan, Baginda dilantik presiden Lembaga Pentadbiran Penempatan Pertanian Melayu (Malay Agriculture Settlement atau MAS) di Kampung Baru
  • Penempatan Pertanian Melayu diwartakan pada 1900

 

Seorang kontraktor DBKL sedang membersihkan Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur

5. Jalan Sultan Salahuddin

  • Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, sultan Selangor kelapan (1960-2001)
  • ditabalkan Yang di-Pertuan Agong ke-11 pada 1999
  • nama Baginda juga harum pada masjid negeri, lapangan terbang dan bangunan pusat pentadbiran negeri

 

Orang ramai melintasi papan tanda Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur

6. Jalan Raja Muda Abdul Aziz

  • Tengku Abdul Aziz Shah, Raja Muda Selangor pada 1950
  • ditabal sebagai sultan Selangor kelapan pada 1960
  • dikenali dengan nama lain sebelumnya, laluan utama di Kampung Baru ini kemudian diubah kepada Jalan Raja Muda sebelum dikenali nama sekarang

 

Penunggang motorsikal melalui lampu isyarat Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur

7. Jalan Raja Laut

  • sempena pembesar Selangor, putera kedua Sultan Muhammad Shah, sultan Selangor ketiga
  • digelar ‘Laut’ kerana diputerakan di perairan Lukut, Negeri Sembilan pada 1850
  • ahli Majlis Negeri Selangor, bertindak sebagai hakim dan penghulu di Kuala Lumpur
  • ketua masyarakat Melayu di Kuala Lumpur pada 1880-an yang banyak selesaikan masalah setempat
  • tubuhkan Sekolah Melayu pertama di Kuala Lumpur

8. Jalan Raja Mahmud

  • Raja Mahmud, juga putera Sultan Muhammad Shah, sultan Selangor ketiga
  • ahli jawatankuasa Lembaga Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru
  • nama diabadi sebagai menghargai jasanya dalam MAS
  • terlibat dalam perang membantu Raja Mahadi

 

Jalan Raja Abdullah, adalah antara jalan uttama di Kampung Baru, Kuala Lumpur

9. Jalan Raja Abdullah

  • sempena nama Raja Abdullah Raja Ja’afar, adinda Raja Jumaat iaitu pemerintah Lukut, kini di Negeri Sembilan
  • Raja Jumaat berkahwin Tengku Senai, puteri Sultan Muhammad Shah, sultan Selangor ketiga pada 1849
  • berkahwin dengan anak saudara Sultan, Raja Abdullah terima watikah sebagai pentadbir Lembah Kelang daripada Sultan Muhammad Shah pada 1853
  • beliau menarik etnik Cina dan Melayu untuk berniaga dan terlibat dalam perlombongan timah di sekitar Ampang

 

Seorang lelaki memakai pelitup muka melalui Pintu Gerbang Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur

10. Jalan Raja Bot

  • Raja Bot Raja Jumaat, pemerintah terakhir Kota Lukut sebelum diserahkan kepada daerah Sungai Ujong pada 1880
  • berhijrah ke Kuala Lumpur pada 1882, teruskan aktiviti perlombongan bijih timah di Kuala Lumpur
  • dilantik penghulu Sungai Buloh pada 1887
  • jalan ini dalam kawasan di pinggir Petempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru

11. Jalan Raja Mahadi

  • putera Raja Sulaiman, atau cucunda sultan ketiga Sultan Muhammad Shah, yang menguasai Klang
  • tidak puas hati Raja Abdullah dilantik menguasai Klang setelah ayahandanya meninggal dunia
  • pada 1866, dalam Perang Klang I, Raja Mahadi tewaskan Raja Abdullah
  • pada 1870, putera Raja Abdullah yang bergabung dengan Tengku Kudin, menantu Sultan Abdul Samad, tewaskan Raja Mahadi dalam Perang Klang II
  • Raja Laut dan Raja Mahmud bergabung dengan Raja Mahadi tewaskan orang Tengku Kudin dan Yap Ah Loy di seluruh Selangor termasuk Kuala Lumpur pada 1872
  • pada 1874, susulan perang yang berlarutan, kuasa Inggeris ambil kesempatan untuk campur tangan politik di Selangor
  • Frank Swettenham menjadi penasihat pertama kepada Sultan Abdul Samad

 

Dua lelaki melintasi papan tanda Jalan Raja Uda, Kuala Lumpur

12. Jalan Raja Uda

  • sempena nama Raja Tun Uda Al-Haj Raja Mohamad, menteri besar Selangor kedua dan keempat (1949-1953 dan 1954-1955)
  • berkahwin dengan Tengku Badariah Sultan Alaeddin Sulaiman Shah, kekanda Sultan Hisamuddin
  • dilantik setiausaha kepada Residen British di Selangor pada 1939, lantikan pertama dalam kalangan orang Melayu
  • dilantik gabenor Pulau Pinang pada 1957 selepas menjadi speaker Majlis Persekutuan pada 1955
  • selain jalan, namanya diabadikan pada perpustakaan utama di Selangor dan juga pangkalan feri di Pulau Pinang

 

Peunggang motorsikal melalui Jalan Raja Alang yang berlatarkan menara berkembar Petronas (KLCC)

13. Jalan Raja Alang

  • asalnya untuk Datuk Raja Mohamed, ahli Dewan Diraja Selangor pada 1950-an
  • namun beliau abadikan nama bapanya Raja Alang Raja Berayun, orang kaya Melayu pada 1880-an. Raja Berayun dilantik Tengku Panglima Garang sewaktu pemerintahan Sultan Abdul Samad
  • Raja Mohamed diberi penghormatan demikian atas jasanya memperjuang kemerdekaan Tanah Melayu

14. Jalan Raja Ali

  • dinamakan sempena Raja Ali Raja Jaafar, ahli Lembaga Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru
  • penghulu mukim Batu pada 1897 hingga 1927
Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Singkapan merdeka, detik bersejarah lagi unik

SHAH ALAM, 31 OGOS: Pelbagai peristiwa penting lagi unik berlaku sepanjang proses menjelang kemerdekaan tanah air.

Namun, sebahagian detik perjalanan sejarah itu termasuk peranan individu dan lokasi tertentu kian tenggelam dalam peredaran zaman.

Bagi menghidupkan sambutan ulang tahun ke-64 di tengah-tengah kemelut Covid-19, Nazli Ibrahim menyingkap beberapa fakta menarik.

Keris Sapukal

  • Dijulang Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj ketika melaungkan kemerdekaan pada 20 Febuari 1956 di Padang Bandar Hilir atau dikenali Padang Pahlawan
  • Sapukal bermaksud keris yang lurus bilahnya berdasarkan takrifan Dewan Bahasa dan Pustaka
  • Mengikut pengkaji keris Profesor Mua’ti @ Zamri Ahmad kepada Selangorkini, keris ini dihadiahkan Kaum Ibu Melaka, kini dikenali sebagai Wanita Umno
  • Penulis buku Keris Indah-Koleksi Diraja Keris Nusantara Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj itu percaya keris yang dijulang itu dalam kategori Bugis berdasarkan pangkalnya agak lebar, bilahnya lurus dan ‘tegap’

Kibaran bendera

  • Tiga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu dalam upacara Pemasyhuran Kemerdekaan di Stadium Merdeka
  • Mereka ialah Bintara Kanan Awang Salleh, Laskar Kelas I Mohd Sharif Kalam dan Laskar Kanan Oliver Cuthbert Samuel
  • Awang berperanan sebagai penyelia, Oliver memegang tali manakala Mohd Sharif memegang bendera untuk dinaikkan
  • Mereka berlatih selama empat hari di Depoh Latihan Polis (kini Pusat Latihan Polis) Jalan Semarak, Kuala Lumpur
  • Reka bentuknya dihasilkan arkitek Jabatan Kerja Raya Johor Mohamed Hamzah yang menang pertandingan anjuran Majlis Raja-Raja dengan kerjasama Majlis Perundangan Persekutuan pada 29 November 1949
  • Pertama kali dikibar di perkarangan Istana Sultan Selangor pada 26 Mei 1950
  • Dipinda beberapa kali. Warna bulan sabit dan bintang yang asalnya putih ditukar kepada kuning, simbol warna diraja. 11 jalur melintang merah putih pula ditambah kepada 14 susulan Sabah, Sarawak dan Singapura menyertai Malaysia pada 16 September 1963
  • Dinamakan Jalur Gemilang mulai 31 Ogos 1997 susulan kejayaan pelayaran Datuk Azhar Mansur mengelilingi dunia

Lagu Negaraku

  • Berkumandang pertama kali dalam pada upacara pengisytiharan kemerdekaan tengah malam 30 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor
  • Dicipta pada 1957. Pemilihan dibuat Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj
  • Iramanya dipetik daripada lagu negeri Perak yang berasaskan lagu Terang Bulan

Padang sejarah

  • Padang Kelab Selangor menjadi lokasi pertama bendera Union Jack diturunkan tanda berakhirnya penjajahan British pada 30 Ogos 1957
  • Tunku Abdul Rahman tiba di padang ini pada jam 11.58 malam menaiki kereta dengan iringan 30 motosikal
  • Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan Tahir Abdul Majid
  • Keesokannya pengisytiharan kemerdekaan dilangsungkan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur

Dokumen di bilik kebal

  • Berukuran 51cm x 74cm, watikah Pemasyhuran Kemerdekaan diperbuat daripada kulit kambing supaya tahan lama
  • Ditulis individu dari Kelantan dalam bahasa Inggeris dan Melayu bertulisan Jawi
  • Dibaca Tunku Abdul Rahman sebelum melaungkan kemerdekaan tujuh kali
  • Disimpan dalam bilik kebal Arkib Negara berikutan ia adalah sijil kelahiran Persekutuan Tanah Melayu

Sumber: Arkib Negara | Facebook Jabatan Penerangan 19 Ogos 2021 | Portal Majlis Keselamatan Negara | Kosmo! 30 Ogos 2020 | myMetro 29 Ogos 2018

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hari Kebangsaan dirai penuh semangat dalam norma baharu

PUTRAJAYA, 31 OGOS: Lokasi-lokasi strategik di Putrajaya untuk menyaksikan pertunjukan udara sempena Hari Kebangsaan 2021 hari ini, menjadi tumpuan orang awam yang ingin menyaksikan secara langsung aksi dan formasi aset-aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ketika berada di ruang udara Putrajaya.

Antara yang menjadi pilihan adalah Dataran Putra, Dataran Putrajaya dan Jambatan Seri Perdana, yang mampu memberikan pemandangan yang jelas dan peluang untuk merakamkan aksi berkenaan.

Orang awam yang hadir di lokasi-lokasi berkenaan dengan ada yang membawa Jalur Gemilang dilihat bersemangat meraikan Hari Kebangsaan dalam norma baharu, dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) termasuk memakai pelitup muka, tidak berkumpul hingga mengabaikan penjarakan fizikal dan bersurai sebaik sahaja persembahan udara tamat.

Kereta peronda polis yang memantau turut memberi peringatan menerusi pembesar suara mengenai keperluan memakai pelitup muka dan menjaga jarak masing-masing, bagi mengelakkan risiko jangkitan Covid-19.

Seorang pengunjung, Aza Abdul Murad, 39, berkata beliau datang ke Dataran Putra seawal 7.30 pagi, semata-mata untuk menyaksikan persembahan udara itu.

“Bunyi pesawat melintasi ruang udara seakan-akan bunyi kebebasan. Bunyi itu menakjubkan dan memberi semangat kemerdekaan,” kata anak kelahiran Pahang itu.

Aza yang mengalami kecederaan kaki baru-baru ini, namun tidak patah semangat untuk turun padang meraikan Hari Kebangsaan dalam norma baharu berkata: “Mesej saya kepada anak muda supaya perasaan untuk menyambut Hari Kebangsaan setiap tahun tidak sesekali luntur, walau apa rintangan sekali pun.”

Formasi penerbangan pesawat pejuang membabitkan Sukhoi Su-30MKM, F/A 18D Hornet dan BAE Hawk 108, diketuai oleh Lt Kol Mohd Norazan Othman yang beraksi di ruang udara Putrajaya dalam cuaca yang baik selepas hujan dinihari berhenti, merupakan antara tarikan utama Hari Kebangsaan 2021.

Sarjan Mohd Raduwan bersama anaknya Muhammad Adam Rayqal yang berpakaian uniform tentera darat mengambil kesempatan pada cuti umum meluangkan masa bersama keluarga dengan mengunjungi Tugu Negara sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos 2021. Foto BERNAMA

Bagi Mohd Ashraf Mohd Noor, 52, walaupun hujan awal pagi tadi, tiga orang anaknya begitu teruja untuk datang ke Dataran Putra sejak semalam, untuk meraikan Hari Kebangsaan 2021.

“Setahun sekali kita meraikan kecintaan kepada negara dan setiap rakyat Malaysia perlu menzahirkan kegembiraan daripada dijajah sehingga mencapai kebebasan. Walaupun anak-anak tidak melalui sejarah itu, namun ibu bapa harus merangsang mereka, untuk menghargai nilai kemerdekaan,” katanya.

Bagi anak lelakinya Mohamad Mohd Ashraf yang berusia14 tahun, sebagai generasi muda erti kemerdekaan kepadanya adalah untuk bebas daripada pandemik Covid-19.

“Erti kemerdekaan itu adalah bebas daripada penjajah, tetapi sebagai anak muda erti itu pada kami ialah bebas daripada pandemik dan kembali kepada kehidupan seperti dahulu,” katanya.

Bagi pesara tentera udara Syamssul Anwar Zaini, 43, beliau dan keluarga lebih selesa menyambut Hari Kebangsaan di rumah, dengan menyaksikan acara sambutan menerusi televisyen, sambil menyorot kembali perjuangan terdahulu untuk negara bebas daripada penjajah, bersama ahli keluarga.

Menurut beliau sambutan tidak semestinya diraikan di tempat awam seperti tahun-tahun sebelumnya, malah ia boleh diraikan di mana-mana sahaja, dengan memakai pakaian kebangsaan atau pakaian yang melambangkan kemerdekaan.

“Perasaan saya dalam sambutan tahun ini mestilah disambut dengan penuh semangat yang tinggi, walaupun berdepan dengan pandemik Covid-19. Ia bukan alasan untuk tidak menyambutnya,” katanya.

Beliau turut berharap, generasi muda dapat meraikan Hari Kebangsaan setiap tahun dengan penuh bangga dan semangat patriotik yang tinggi.

“Walaupun kehidupan zaman ini serba mudah, namun tanpa pengorbanan orang-orang terdahulu, kita tidak akan merasainya pada hari ini,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA RENCANA

Kibar Jalur Gemilang, semai cinta kepada negara

Oleh Balkish Awang

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Berbicara soal merdeka, pastinya yang terlintas di minda umum ialah kebebasan yang diperoleh negara pada 31 Ogos 1957 selepas mengharungi pelbagai liku, dan kisah suka duka itu “diturunkan” oleh satu generasi kepada generasi seterusnya.

Namun seiring peredaran masa, pengalaman perit generasi terdahulu dalam memperjuang kemerdekaan negara sukar dihayati sepenuhnya oleh generasi semasa. Justeru, pelbagai usaha dilakukan agar semangat cintakan negara terus tersemat dalam kalangan masyarakat, dan ini termasuk kempen mengibarkan Jalur Gemilang, panji yang melambangkan kedaulatan negara dan identiti bangsa.

“Menjiwai dan mempunyai rasa kesedaran mengibarkan Jalur Gemilang perlu ada dalam hati rakyat tanpa mengira masa, malah seharusnya (pengibaran Jalur Gemilang) lebih meriah pada Hari Kebangsaan,” kata Yang Dipertua Persatuan Sejarah dan Peradaban Melayu Pulau Pinang Datuk Abdul Kader Md Ali.

Bercakap kepada Bernama, sejarawan itu berkata menerusi pengibaran Jalur Gemilang, masyarakat meluahkan semangat patriotik dan rasa bangga menjadi rakyat negara ini.

“Kita telah mengecapi nikmat kebahagiaan dan kebebasan hasil perjuangan dan pengorbanan mereka (generasi terdahulu). Sebagai tanda kasih sayang kita kepada mereka dan cintanya kita kepada negara yang tidak berbelah bagi, malah berbangga dengan bendera lambang kemegahan negara, ayuh kita kibarkan Jalur Gemilang, menandakan terima kasih yang begitu tinggi kita hadiahkan kepada mereka yang berjasa kepada bangsa dan negara sehingga kita hidup dengan aman dan harmoni,” katanya.

Beliau juga menegaskan semangat tersebut harus dipupuk sejak awal usia agar generasi berkenaan dapat terus memelihara kedaulatan negara pada masa akan datang.

Lebih baik lagi, katanya, Jalur Gemilang dikibarkan pada sepanjang masa, manakala generasi muda pula memanfaatkan media sosial untuk “mencantikkan” lagi suasana kegembiraan meraikan ulang tahun hari kemerdekan negara.

Sejarah Jalur Gemilang

Menyingkap kisah Jalur Gemilang, Abdul Kader berkata pada 1949, Raja-raja Melayu memberi perkenan agar satu jawatankuasa ditubuhkan bagi menimbang dan memutuskan reka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu, dan untuk itu satu pertandingan diadakan.

“Pertandingan ini dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu. Pada pertandingan akhir reka cipta dan reka bentuk bendera Tanah Melayu ini, terdapat tiga reka cipta bendera dipilih untuk penilaian terakhir bagi mendapatkan perkenan Raja-raja Melayu.

“Akhirnya reka bentuk milik Mohamed Hamzah, seorang arkitek di Jabatan Kerja Raya dipilih sebagai pemenang pertandingan tersebut dan kemudiannya diperakui oleh Majlis Raja-Raja pada tanggal 23 Feb 1950. Selepas itu, beberapa pindaan dibuat antaranya lambang bulan sabit dan bintang pada asalnya warna putih, ditukar kepada warna kuning sebagai lambang warna diraja,” katanya.

Beliau berkata bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan buat pertama kali pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor di Kuala Lumpur.

Dikenali sebagai Bendera Malaysia sejak 1950, pada ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-40 pada 1997, namanya ditukar kepada Jalur Gemilang.

“Nama itu diilhamkan dan diusulkan oleh Datuk Hashim Mat Dris. Cadangan ini dikemukakan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad – sekarang Tun Dr Mahathir) pada tanggal 11 Julai 1997. Pengisytiharan oleh Dr Mahathir (perdana menteri ketika itu) berlangsung pada 11.58 malam di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur bersempena Hari Kemerdekaan Negara yang ke-40, malam 31 0gos 1997,” katanya.

Terjemah cinta menerusi bendara di laman rumah

Menghias rumah menggunakan bendera antara terjemahan cinta kepada negara yang boleh dilihat di halaman rumah seorang pendidik, Normala Md Desa, 58, di Kampung Perlis, Balik Pulau, Pulau Pinang.

“Saya rasa cukup tenang dan amat gembira bila melihat bendera ditiup angin dan amat cantik pemandangan tatkala bendera berkibar ditiup angin. Rasa puas menyelubungi diri melihat satu mercu kebanggaan negara terus berkibar megah dan di situ lahirnya rasa semangat jati diri kepada negara Malaysia tercinta,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Guru Tadika Perpaduan Pantai Jerejak itu berkata menjadi kelazimannya dan anak perempuan beliau, Nurul Nadiah Tajuddin, 25, untuk menatarias rumah mereka menjelang ulang tahun hari kemerdekaan.

Pada tahun ini, ibu kepada lima cahaya mata itu bercadang menggunakan tema flora dan fauna.

“Saya akan ambil ranting pokok dan lekatkan bendera. Di halaman rumah banyak pokok bunga, jadi saya akan hias di situ,” katanya yang turut menggunakan bahan terbuang.

Mengulas sumbangannya bagi menyemai semangat patriotik dalam kalangan generasi muda, Normala berkata beliau menugaskan anak muridnya menyiapkan projek berkisarkan kemerdekaan.

“Sekarang adalah masa terbaik untuk memupuk semangat cintakan negara kerana ibu bapa dan anak-anak banyak menghabiskan masa bersama di rumah. Didik mereka untuk kenal jati diri. Untuk anak murid saya sebagai satu projek PdPR, saya telah meminta mereka buat satu projek reka cipta mercu tanda Malaysia daripada bahan terbuang mengikut kreativiti masing-masing,” katanya yang turut meminta anak murid membuat buku skrap tentang sejarah kemerdekaan bersama ibu bapa.

Normala berkata beliau kini dalam proses mendapatkan bendera dan akan menyiapkan hiasan pada pertengahan Ogos ini berikutan cuaca di Balik Pulau kini sangat panas, selain keadaan angin kuat yang sedikit-sebanyak menyukarkan pemasangan bendera.

Pada tahun lepas, Normala dan anak perempuannya menjadikan Covid-19 sebagai tema hiasan rumah, yang mana beliau mereka cipta replika Covid-19 menggunakan 14 batang aloi dan kemudian membentuknya menjadi simbol rakyat Malaysia berjuang melawan Covid-19.

Kreativiti Normala menarik perhatian orang ramai yang lalu di hadapan rumahnya sehingga ada yang mengambil kesempatan merakam momen mereka di situ.

Menurut wanita itu, beliau juga pernah membina replika kereta api Bukit Bendera, Jambatan Pulau Pinang serta Menara Berkembar Petronas yang diletakkan di halaman rumahnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

McDonald’s giat bangunkan bakat, kembang kerjaya generasi muda

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Setelah 63 tahun Malaysia menghela nafas kemerdekaan, belia perlu mempunyai anjakan paradigma selaras dengan kemajuan yang dikecapi negara.

Selaras dengan itu, McDonald’s Malaysia telah melaksanakan inisiatif pembangunan bakat khusus untuk belia sejak 2018.

“McDonald’s Malaysia yang mempunyai 14,000 kakitangan di seluruh negara, berharap untuk menarik 10,000 lagi bakat tempatan menjelang 2025 dengan adanya program vokasional untuk belia,” kata francais khidmat makanan segera itu dalam satu kenyataan hari ini.

Program Perantis Vokasional McDonald’s, yang dilancarkan pada 2018 dengan usaha sama Kementerian Sumber Manusia (MOHR) melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), memfokuskan pembelajaran berlandaskan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang memberi peluang kepada belia untuk mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3.

Program ini juga mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Bahagian Pembangunan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV), untuk diperluaskan lagi ke peringkat menengah sekali gus akan melibatkan pelajar dari kolej-kolej vokasional.

Selain itu, menurut kenyataan itu lagi, lebih 1,200 belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Tingkatan 3 (PT3) sudah menyertai program itu, sejak dilancarkan dan McDonald’s Malaysia berhasrat untuk mencapai sasaran 3,000 belia, menjelang penghujung tahun ini.

Modul pembelajaran untuk SKM Tahap 4 yang setara dengan pendidikan di peringkat diploma juga sedang dibangunkan, dengan kerjasama MOHR dan graduan mempunyai pilihan sama ada memulakan kerjaya di McDonald’s atau terus menyambung pengajian ke peringkat seterusnya, selepas tamat program.

Seorang penerima Anugerah Graduan Cemerlang Noor Fazriza Fazlin Abdul Rahim, 20, menyatakan bahawa program ini banyak mengubah dirinya, dan disebabkan tajaan penuh yang ditawarkan beliau tidak perlu lagi menyusahkan ibu bapa atau adik beradik lain.

Ibu Noor Fazriza Fazlin Noor Hashimah Salehuddin, 59, berkata, bahawa dia bangga dengan anaknya kerana mendapat Anugerah Graduan Cemerlang itu dan berharap Noor Fazriza Fazlin dapat terus kembangkan kerjayanya di McDonald’s.

Sementara itu, Naib Presiden Sumber Manusia McDonald’s Malaysia Azhar Darbi berkata, pihaknya mengutamakan belia yang bersikap positif dan bersemangat untuk memajukan diri.

“Program ini membolehkan belia mempelajari amalan terbaik bertahap global dalam bidang perkhidmatan makanan, yang menjadi rahsia kejayaan serta reputasi kukuh McDonald’s selama ini,” katanya.

Belia lepasan PT3 dan SPM yang berminat menyertai program vokasional yang disediakan oleh McDonald’s Malaysia, boleh melayari www.maukerja.my/mcd/ untuk maklumat lanjut.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Semai perpaduan, rancak pembangunan

Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT, pada hari yang berbahagia ini, saya dapat bersama-sama, dijemput Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional untuk melancarkan dan merasmikan sesi maklum balas rakyat draf Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2025 yang dilancarkan pada peringkat negeri. Seterusnya ia akan diadakan di seluruh daerah, di sembilan lokaliti yang bakal ditetapkan Kerajaan Negeri dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Saya berterima kasih dan mengucapkan tahniah kepada JPNIN yang berusaha untuk meneruskan usaha memantapkan perpaduan dan muafakat masyarakat berbilang kaum dalam negara kita. Seterusnya, ia menjadi salah satu inti dan resipi penting kepada kejayaan negara pada masa hadapan.

Bulan Ogos, kita dipenuhi dengan kegiatan yang bertepatan untuk sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang kita cintai untuk kali ke-63. Dalam tempoh itu, kita melalui beberapa episod mencabar dan mencuba keupayaan kita dalam mengekalkan perpaduan antara satu sama lain selain meneruskan usaha pembangunan dan kesepakatan yang difikirkan oleh ‘forefathers’ ataupun pendiri negara kita.

Justeru negara ini pernah berdepan dengan rintangan awal sejak kemerdekaan, dengan sinisisme dalam kalangan negeri-negeri sekitar, ataupun jangkaan negara-negara luar ketika itu. Yang menjangka kita tidak akan mampu berdepan dengan kesenjangan antara kaum, pengenalan ekonomi mengikut kaum dan pelbagai ramalan merebaknya semangat kedaerahan yang melampau dan akhirnya memisahkan dan mencerai-beraikan negara yang tertubuh pada 1957.

Merungkai perbalahan

Kemudian, kita berdepan isu perbalahan dan perseteruan kaum yang memuncak sehingga peristiwa berdarah 13 Mei dicatatkan dalam rekod buruk negara. Akhirnya ia memisahkan kita dan menimbulkan beberapa dasar-dasar baru untuk menangani perkara tersebut.

Ini termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Nasional (DPN) mahupun Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKN) di mana usaha yang telah direncanakan ketika itu, tidak lain dan tidak bukan, mengurangkan jarak antara kaum dan mengurangkan penguasaan ekonomi berdasarkan kaum tertentu yang menjadi salah satu punca perbalahan dan keirian dengan kemuncaknya pada 1969.

Kemudian, negara bergerak lagi ke hadapan selepas tamatnya DEB, kita memperkenalkan DPN dengan Wawasan 2020 menjadi elemen penting. Ia diletakkan sebagai kayu ukur dan keupayaan kita untuk mengekalkan perpaduan di samping ingin membawa negara ke arah dunia teknologi tinggi, membawa dunia pendigitalan yang kita nikmati sekarang ini.

Cyberjaya

Kelahiran Cyberjaya dan beberapa elemen perpaduan ketika itu, yang ingin menolak negara daripada hanya mengamal ekonomi berasaskan produktiviti dan mengekalkan produktiviti tinggi berdasarkan teknologi tinggi.

Salah satu elemen penting dalam DPN ataupun Wawasan 2020 dalam sembilan cabaran yang diketengahkan ialah mewujudkan sebuah bangsa yang kita namakan sebagai bangsa Malaysia yang bersatu-padu.

Justeru, setelah kita melalui beberapa episod, mengenalkan DEB, DPN dan Wawasan 2020, kita ingin melonjak ke hadapan dalam tempoh 15 ke 20 tahun. Sudah pasti kita harus menilai dan meneliti semula episod, kejadian dan perkembangan terkini.

Bagaimana setiap isu dan persoalan yang ditimbulkan daripada setiap zaman dapat diketengahkan, ditangani dan dirumuskan untuk kita lalui serta depani cabaran mendatang.

Sepakat depani krisis

Negara kita sememangnya terkenal mampu muafakat dan sepakat apabila berlakunya krisis. Apabila timbul isu perbalahan kaum 13 Mei, sebagai contoh, segenap kelompok dan penduduk dalam negara pada ketika itu berfikir bagaimana untuk menangani perkara itu. Dan beberapa dasar dan perkara-perkara baru yang dapat kita lalui bersama.

Episod 1998, sedikit sebanyak memisahkan kita atas perbezaan ekonomi dan politik yang mencengkam. Namun kerana adanya kesepakatan, fikiran dan fikrah yang jelas untuk kemajuan dan pembangunan negara, kita berjaya menghadapinya bersama-sama.

Kali ini, dalam episod terbaru, kita diuji dengan pandemik Covid-19 yang sedikit sebanyak mencuba bagaimana semangat perpaduan antara masyarakat pelbagai kaum di negara kita dapat ditangani.

Alhamdulillah, pada saat kita berdepan ‘krisis ini’ kita dapat menanganinya, kita dapat berdepannya dan kembali ke landasan ataupun dalam istilahnya ‘we tow to the line’, kita kembali kepada landasan yang jelas – bagaimana perpaduan dipupuk dan muafakat dapat dibentuk yang akhirnya kita berjaya melepasi cabaran tersebut.

Namun begitu, dalam pada masa sama, kita tidak boleh alpa kerana negara kita merupakan negara berbilang kaum dan multi-etnik. Timbul beberapa persoalan berterusan antara satu sama lain.

Tumpuan ramai

Apatah lagi pada hari ini kita bicara tentang Selangor, sebuah negeri, sebuah kawasan dan lokaliti yang dianggap sebagai ‘melting pot’ atau menjadi tempat tumpuan ramai masyarakat Melayu Bumiputera, ras dan etniknya cukup pelbagai.

Sama ada mereka kelompok Malaysia Timur daripada Sabah dan Sarawak yang memilih Selangor sebagai pusat pemberdayaan ekonomi ataupun ruang mencari ekonomi dan pendidikan serta pelajaran tinggi mereka. Atau daripada ras-ras sedia ada di Selangor – Jawa, Banjar, Bugis, Mandailing dan pelbagai kelompok lain, tidak ketinggalan kelompok Orang Asli ataupun Orang Asal mahupun daripada negeri lain seluruh Malaysia.

Daripada Sabah sampai Sarawak, daripada Kelantan, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, mereka memilih Selangor sebagai salah satu pusat kehidupan mereka kerana di sini pusat tumpuan ekonomi selepas pusat perkembangan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang terletak berdekatan dan menjadi jiran kepada negeri yang kita cintai.

Sudah pasti cabarannya bukan cuma satu dan bukan ‘single issue’ tetapi bagaimana kita menangani perkara ini selama ini harus dijadikan pengajaran dan melihat ada isu-isu baru yang harus ditangani dengan jernih. Kita harus melihat persoalan semasa dan persoalan media sekarang yang sudah semakin terbuka.

*Sedutan ucapan bahagian pertama Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis pelancaran Pelan Tindakan Perpaduan Negara di Pusat Konvensyen Midlands, Shah Alam pada 27 Ogos

 

 

 

Categories
ADN SELANGOR

140 sertai kempen derma darah DUN Morib sempena Merdeka

BANTING, 2 SEPT: Seramai 140 individu sertai kempen derma darah anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib sempena Hari Kebangsaan Ke-63 pada 31 Ogos lalu.

Ahli Dewan Negerinya, Hasnul Baharuddin berkata program yang berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Langat adalah usaha membantu Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang menambah bekalan darah.

“Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menggesa seluruh negara melabur dalam pembangunan infrastruktur dan kempen kesedaran awam bagi meningkatkan bilangan penderma darah sebagai usaha membendung pandemik Covid-19,” katanya di Facebook.

Beliau menambah kempen tersebut akan diadakan secara kerap di sekitar mukim itu bagi memudahkan masyarakat yang berdepan kekangan masa untuk pergi ke hospital.

“Misalnya, hari cuti sempena menyambut Merdeka sebegini dapat memberi peluang kepada mereka untuk hadir dengan keadaan lebih selesa seterusnya memupuk nilai murni,” katanya sambil menambah peserta diberi sijil penghargaan oleh HTAR.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Kibaran pertama bendera Malaysia di Istana Selangor 1950

Sebaik sahaja bendera Union Jack diturunkan, bendera Tanah Melayu yang baharu perlahan-lahan dinaikkan, disusuli nyanyian lagu kebangsaan. Dalam pidatonya, upacara itu disifatkan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, perdana menteri pertama sebagai “momen terhebat dalam kehidupan rakyat Tanah Melayu.”

Corak bendera itu hampir sama dengan versi sekarang; tertera jalur merah dan putih, petak biru di sudut atas kiri mengandungi bulan sabit dan bintang. Satu-satunya perbezaan adalah jumlah garis dan bilangan bucu bintang. Pada 1957, hanya ada 11 jalur, enam merah dan lima putih, dan bintang kuning 11 bucu sebagai lambang bendera persekutuan.

Namun, peristiwa itu bukan pertama kali bendera berkenaan dikibarkan sebaliknya ia lebih dahulu dinaikkan di perkarangan Istana Selangor (yang kemudian dikenali Istana Negara) di Kuala Lumpur pada 26 Mei 1950, kini dijadikan Muzium Diraja. Dalam upacara jam 9.30 pagi, bendera berukuran enam kaki lebar dan tiga kaki panjang dinaikkan Pesuruhjaya Tinggi British Sir Henry Gurney pada tiang setinggi 60 kaki.

Sultan Selangor Sultan Hisamuddin Alam Shah antara orang kenamaan yang hadir menyaksikan peristiwa bersejarah itu. Turut sama, Menteri Besar Perak Abdul Wahab Abdul Aziz, Menteri Besar Pahang Dato Mahmud Mat, Menteri Besar Johor Dato Onn Jaafar, Menteri Besar Kelantan Nik Ahmad Kamil Haji Mahmud, Menteri Besar Perlis Raja Haji Ahmad Endut dan Menteri Besar Negeri Sembilan Dato Abdul Malek Yusuf.

Berbeza-beza

Sebelum 1946, Tanah Melayu sebagai jajahan Inggeris terdiri daripada empat negeri bersekutu iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Lima negeri tidak bersekutu pula adalah Johor, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis. Lima negeri bersekutu sudah ada bendera iaitu empat jalur putih, merah, kuning dan hitam serta gambar harimau berlari.

Kombinasi hitam, merah dan kuning mewakili Negeri Sembilan, hitam dan putih (Pahang), putih dan kuning (Perak) dan merah kuning (Selangor). Bagaimanapun, negeri-negeri tidak bersekutu tidak memiliki bendera sendiri sekalipun semua wilayah itu juga bawah naungan Inggeris dengan sistem pentadbiran berlainan.

Pada 1949, kira-kira setahun selepas Persekutuan Tanah Melayu diwujudkan bagi mengganti Malaysian Union, satu pertandingan rekaan bendera baru diadakan. Ia dikelolakan jawatankuasa diketuai Ketua Setiausaha Negara Sir Alec Newboult bersama beberapa wakil lain.

Sebanyak 373 rekaan diterima tetapi hanya tiga terpilih ke peringkat akhir untuk dinilai orang ramai. Seorang daripadanya Mohamed Hamzah (gambar), arkitek berusia 29 tahun yang bekerja di Jabatan Kerja Raya (JKR) di Johor Bahru. Beliau menghantar dua rekaan, disiapkan dalam dua minggu.

Ciptaan pertamanya adalah bendera hijau dengan keris biru di tengah-tengah, dikelilingi 15 bintang putih. Rekaan kedua pula – terpilih ke peringkat akhir – berlatar biru, ada 11 jalur warna merah dan putih dengan bintang bucu lima dan bulan sabit warna kuning. Dua lagi rekaan yang turut terpilih ke peringkat akhir, keseluruhan bendera berlatar biru dengan imej keris di tengah-tengah dan dikelilingi 11 bintang putih secara bulatan. Satu lagi agak mirip, bezanya bintang yang mengelilingi keris bukan bulat sebaliknya berbentuk seakan-akan bintang berbucu enam.

Namun, Arkib Negara tiada rekod mengenai pereka kedua-dua rekaan berkenaan. Malah, identiti Hamzah hanya diketahui 12 tahun selepas kematiannya pada 1993.

Pemilihan akhir

Orang ramai memberi pendapat terhadap ketiga-tiga rekaan tersebut melalui akhbar The Malay Mail. Keputusan akhir yang disiarkan pada 28 November 1949 menunjukkan orang ramai memilih rekaan Hamzah. Namun, rekaan itu ada sedikit pindaan sebelum mendapat perkenan mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950.

Mengikut kenyataan Abu Bakar, adik bongsu Hamzah, melalui wawancara Harian Metro pada 31 Ogos 2004 pindaan itu dibuat Onn berikutan penggunaan lima bucu bintang rekaan abangnya disalah anggap menyerupai bendera komunis.

Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan memilih bendera berkenaan sebelum ia dikibar buat pertama kali di Istana Selangor sebulan kemudian.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Merdeka tekad raih kebebasan, elak sikap curiga

SHAH ALAM, 30 OGOS: Merdeka bukan hanya diukur pada slogan atau patriotik memasang bendera, sebaliknya mencakupi janji atau tekad meraih kebebasan dan keadilan kepada semua kaum.

Ketua pembangkang berkata merdeka juga tidak bererti jika rakyat masih dirundung kemiskinan, jurang pendapatan dibiar melebar dan elit politik terus mangaut kekayaan.

“Mengulangi sikap rasuah, kepincangan, kebobrokan dalam aspek tatakelola; apakah itu boleh dikatakan memaknai semangat merdeka?

“Dan apa maksud merdeka sekiranya rakyat atau warga di negara ini terus mencurigai antara satu dengan yang lain?” soal Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perutusan merdeka.

Presiden Parti Keadilan Rakyat itu turut mengajak rakyat meraikan merdeka dengan tekad dan semangat luar biasa serta menolak kebencian dan curiga antara kaum.

“Kita punya visi besar untuk tanah air tercinta yakni membangun Malaysia yang serba baharu, baik dari segi pemikiran, perekonomian, tadbir urus dan sikap.

“Selamat menyambut Hari Merdeka kepada seluruh anak watan. Merdeka!” katanya lagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Fahami nilai Rukun Negara, terap dalam kehidupan

SHAH ALAM, 30 OGOS: Nilai dan ajaran Rukun Negara tidak hanya boleh dijadikan kata-kata, sebaliknya perlu dipraktik dan diperhalusi, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari kesal masih ada kelompok yang tidak memahaminya dan mengamalkan sikap yang boleh menimbulkan kemarahan serta keresahan.

“Bapa Kemerdekaan juga menyeru, ‘Kita semua rakyat Malaysia. Ini adalah satu ikatan yang sentiasa menyatukan kita. Hendaklah kita sentiasa ingat bahawa perpaduan adalah asas kekuatan kita sebagai rakyat dan sebagai satu negara.’

“Pada ulang tahun ke-63 kemerdekaan, kita tidak boleh melupakan negara ini dibina dengan usaha dan jerih perih leluhur kita yang menumpahkan darah dan air mata untuk melihat sebuah negara dan bangsa yang maju jaya, dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di pentas dunia.

“Sedari awal lagi negara ini didirikan dengan nilai timbang rasa yang tinggi, saling hormat-menghormati dan ketinggian budi seperti yang digariskan dengan jelas dalam Rukun Negara,” katanya dalam perutusan khas sempena merdeka.

Amirudin berkata perjuangan menentang Covid-19 juga masih panjang dan rakyat diingatkan sentiasa mematuhi norma baharu demi kesejahteraan semua.

Beliau turut memberi tabik hormat kepada petugas barisan hadapan yang berjuang dan berkhidmat tanpa henti untuk memelihara dan melindungi rakyat daripada pandemik global itu.

“Perjuangan dan pengorbanan anda adalah lambang bakti setia kepada negara yang tercinta ini. Selamat Hari Kebangsaan kepada semua,” katanya lagi.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA

Hayati intipati Rukun Negara, elak cetus keresahan

Enam puluh tiga tahun setelah kita merdeka, elok untuk kita mengimbau kembali kata-kata Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang berbunyi, ‘The last thing people in this country want to see is a Malaysia divided into political extremes, for a nation divided against itself can only invite trouble.’

Bapa Kemerdekaan juga menyeru, ‘Kita semua rakyat Malaysia. Ini adalah satu ikatan yang sentiasa menyatukan kita. Hendaklah kita sentiasa ingat bahawa perpaduan adalah asas kekuatan kita sebagai rakyat dan sebagai satu negara.’

Pada ulang tahun ke-63 kemerdekaan Malaysia ini, kita tidak boleh melupakan bahawa negara ini dibina dengan usaha dan jerih perih leluhur kita yang menumpahkan darah dan air mata untuk melihat sebuah negara dan bangsa yang maju jaya, dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di pentas dunia.

Sedari awal lagi negara ini didirikan dengan nilai timbang rasa yang tinggi, saling hormat-menghormati dan ketinggian budi seperti mana yang hayati intipati Rukun Negara digariskan dengan jelas di dalam Rukun Negara.

Namun masih ada kelompok yang tidak mahu memahami nilai-nilai itu dan masih mengamalkan sikap yang boleh menimbulkan kemarahan dan keresahan yang tidak sepatutnya berlaku. Nilai dan ajaran Rukun Negara tidak hanya boleh dijadikan kata-kata tanpa dipraktikkan dan diperhalusi intipatinya.

Perjuangan masih panjang

Pada Bulan Kemerdekaan ini, kita masih lagi tidak merdeka daripada virus Covid-19. Perjuangan ini masih panjang dan ada norma baharu yang perlu kita patuhi untuk kesejahteraan semua pihak. Kita dapat lihat bagaimana sikap mementingkan diri dan degil akhirnya merugikan kita semua. Saya menyeru kepada seluruh rakyat negeri Selangor untuk terus mematuhi penjarakan fizikal dan juga sentiasa memakai pelitup muka di tempat awam.

Pada kesempatan ini juga saya memberikan tabik hormat kepada setiap petugas barisan hadapan di Selangor dan seluruh negara yang berjuang dan berkhidmat tanpa henti untuk memelihara dan melindungi rakyat Malaysia daripada pandemik global ini. Perjuangan dan pengorbanan anda adalah lambang bakti setia kepada negara yang tercinta ini. Selamat Hari Kebangsaan kepada semua!

*Perutusan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Keamanan negara tidak datang bergolek – Panglima ATM

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Keamanan negara tidak boleh dikecapi jika tiada yang berjuang memastikan keamanan pada zaman dahulu, kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang.

Beliau berkata ini kerana keamanan tidak datang bergolek dan ia memerlukan pengorbanan besar untuk mencapai kemerdekaan.

“ATM memberi sepenuh jiwa raga dan nyawa mereka untuk menentukan kedaulatan negara agar sentiasa dipertahankan.

“Kami, ATM, mempunyai semangat perjuangan tinggi ketika berhadapan dengan ancaman komunis yang mengganggu-gugat negara pada zaman dahulu,” katanya mengenang kembali perjuangan ATM kepada Bernama baru-baru ini di pejabatnya di Wisma Pertahanan.

Affendi berkata pasukan keselamatan bertungkus-lumus mempertahankan negara dan tidak pernah mempersoalkan pengorbanan yang mereka beri untuk mendapatkan kemerdekaan di negara ini.

Beliau berkata walaupun negara telah mencapai kemerdekaan namun ancaman pada dulu dan kini tidak lagi sama.

“Kita melangkah ke era ancaman pengganas (pada masa kini) dan ia merupakan cabaran kepada ATM dalam mempertahankan sempadan daratan dan sempadan perairan negara.

“Sempadan daratan dan perairan amat luas sekali dan kita tidak boleh leka walaupun sekejap kerana ancaman luar ini (boleh berlaku) pada bila-bila masa sahaja,” katanya.

Affendi berkata pihaknya sentiasa memperketatkan kawalan di sempadan daratan dan perairan negara bagi memastikan tiada anasir luar menceroboh masuk ke negara ini.

“Merdeka ialah sesuatu makna yang amat mendalam dan keamanan negara ini kita tidak boleh ‘take for granted’ dan sentiasa perlu bersiap siaga,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Mej Jen Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata pihak tertentu perlu memainkan peranan dalam mengkomersialkan kisah perjuangan serta pengalaman pahit getir veteran ATM semasa era peperangan suatu masa dahulu.

“Ia juga boleh dilakukan dengan cara menjadikan ia sebagai subjek teras dalam pendidikan di mana ianya dipercayai boleh menyemai semangat kecintaan kepada negara.

“Jika dilihat veteran ATM sendiri mereka sentiasa bersiap sedia mempertahankan maruah dan kedaulatan negara daripada segala bentuk ancaman jika diperlukan pihak kerajaan,” katanya.

Dzulkarnain berkata golongan veteran ATM ini mempunyai semangat serta nilai patriotisme yang tinggi biarpun rata-ratanya sudah ‘menggantung’ seragam atau senjata.

Beliau berkata tidak timbul isu nilai patriotisme dalam kalangan veteran sama ada menurun ataupun hilang ketaatan dan kesetiaan mereka kepada negara ini.

-BERNAMA