Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MPK komited didik masyarakat kitar semula

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 25 OGOS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) komited untuk mendidik masyarakat berkenaan kepentingan kitar semula kerana ia amalan penting untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Yang Di Pertuanya, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, tahap kesedaran masyarakat tentang kepentingan kitar semula masih lagi rendah, namun tidak mematahkan semangat MPK yang sentiasa berusaha mendidik mengurangkan jumlah sisa yang masuk ke tapak pelupusan, sekali gus mencapai matlamat sisa sifar demi kelestarian alam sekitar.

“Kesedaran itu bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai sekiranya wujud kemahuan yang tinggi dalam kalangan masyarakat terutama bagi menerapkan budaya kitar semula di pelbagai peringkat umur.

go green 1“MPK sentiasa komited dalam hal berkaitan kitar semula dan minggu lalu kita mengadakan Program Kitar Semula Minyak Masak bertempat di Masjid Kampung Raja Uda, Masjid Meru (31 Ogos), fasa kedua di Masjid KRU (2 September) dan setiap bulan semua jabatan melakukan perkara yang sama (kitar semula minyak masak).

“Kesedaran itu makin bertambah dan ia sesuatu yang positif dalam usaha menerapkan budaya amalan kitar semula bagi memastikan persekitaran yang didiami sentiasa bersih dan terjaga,” katanya di Program Sehari Bicara Alam: ‘Go Green–Segalanya Bermula Di Sini’ baru-baru ini.

Yasid berkata, konsep 3R sebenarnya sudah melalui satu tempoh yang cukup lama sejak ia dilancarkan sekitar tahun 90an tetapi hingga hari ini sambutannya masih tidak menyeluruh ekoran sikap orang ramai tidak peduli atau mengharap pihak lain untuk melakukannya menyebabkan sampah terus bertambah.

Katanya, situasi makin serius jika tidak ditangani dan bakal memberi kesan tidak elok terhadap persekitaran, sekali gus menjejaskan kualiti hidup masyarakat.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.