Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Rio 2016: Beregu campuran Malaysia raih pingat perak

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Beregu campuran negara, Goh Liu Ying dan Chan Peng Soon menghadiahkan pingat perak buat Malaysia selepas tewas kepada Indonesia dalam peringkat akhir di arena Riocentro, Rio de Janeiro awal pagi Khamis (waktu Malaysia).

Laluan gandingan negara itu tewas straight set, 21-14 dan 21-12 di peringkat akhir dan hanya menang sekali daripada sembilan pertemuan dengan juara dunia 2013 itu.

“Kami sudah cuba yang terbaik tetapi lawan jelas lebih bagus,” kata Peng Soon.

Dalam set pertama, Peng Soon-Liu Ying sekadar dapat merapatkan mata kedudukan pada 9-11, sebelum gandingan Indonesia itu melebarkan jurang dan menamatkan set dengan 14-21.

Cerita sama turut berlaku dalam set kedua apabila pasangan negara memberi harapan seketika pada kedudukan 10-13, sebelum Tontowi-Liliyana memastikan kemenangan dengan 12-21, lapor Bernama.

Namun, Peng Soon-Liu Ying yang mencipta sejarah menjadi beregu campuran pertama negara mara ke final, tetap mampu berbangga apabila pulang dengan pingat perak.

RIO“Saya masih tidak percaya dapat bermain di final Olimpik walaupun ini bukan permainan terbaik daripada kami.

“Sekarang beregu campuran negara semakin meningkat dan saya percaya untuk Sukan Olimpik akan datang, kita juga boleh mengharapkan sesuatu,” kata Liu Ying.

Malaysia masih berpeluang mencari pingat emas pertama Olimpik menerusi acara beregu lelaki apabila Goh V Shem-Tan Eee Kiong akan beraksi menentang Fu Haifeng and Zhang Nan dari China di final, Jumaat ini.

Datuk Lee Chong Wei juga masih pada landasan tepat memenuhi impian emasnya apabila akan berdepan musuh tradisinya dari China, Lin Dan di separuh akhir, juga pada Jumaat.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.