Categories
SELANGOR

“Selfie With Klang” taruh keunikan bandar Diraja

KLANG, 31 OGOS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) memiliki cara tersendiri bagi memperkenalkan keunikan bandar bersejarah itu kepada orang awam dan pelancong luar.

Memperkenalkan pertandingan “Selfie With Klang”, Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, acara itu mengajak orang ramai ber’selfie’ di lokasi menarik sekitar Klang, pada 26 Ogos hingga 14 September ini.

Katanya, peserta perlu mengambil gambar ‘selfie’ di sekitar lokasi bersejarah dan ‘like’ halaman Facebook Selfie With Klang dengan pemenang ditentukan berdasarkan jumlah ‘like’ diterima.

“Beberapa syarikat termasuk ahli majlis bersetuju memberi tajaan dan ini adalah antara sambutan awal yang kita terima untuk pertandingan berkenaan.

“Warga Klang perlu mengambil peluang ini kerana di samping hadiah lumayan, aktiviti dianjurkan secara tidak langsung menaikkan imej Klang sebagai lokasi menarik untuk dikunjungi,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, juara pertandingan itu bakal menerima wang tunai RM2,000.

imagePada masa sama, Yasid berkata, MPK turut menganjurkan Kempen Kibar Jalur Gemilang bagi pemilik bangunan persendirian, sekolah, masjid dan rumah ibadat.

“Pertandingan Ceria Jalur Gemilang peringkat daerah Klang 2016 juga akan diadakan sehingga 8 September ini dari jam 8 pagi hingga 5 petang di sekitar pejabat agensi jabatan kerajaan Klang,” katanya.

Beliau berkata, MPK turut mengadakan sambutan ‘Ambang Merdeka’ peringkat daerah Klang pada 30 hingga 31 Ogos di Dataran Seni juga Program Santai Permotoran Ambang Kemerdekaan Selangor @ Kaki Santai Motor Ambang Merdeka (Tanjung Harapan) serta Huntmer Merdeka Charity Run 2016 di Jalan Raya Barat.

-AA-