Categories
SELANGOR

500 sertai kayuhan Hari Malaysia MPSJ

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kira-kira 500 peserta menyertai Kayuhan Hari Malaysia Majlis Perbandaran Subang Jaya MPSJ-KPMC Puchong, pada 4 September lalu.

Kayuhan sepanjang 18 kilometer kawasan berbukit diadakan sempena menyambut Hari Malaysia, pada 16 September ini.

Pegawai Komunikasi Korporat MPSJ, Muhammad Azli Miswan berkata, ia juga bertujuan menerapkan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti perbandaran Subang Jaya melalui aktiviti sukan ringan seperti kayuhan basikal secara berkumpulan dan berkeluarga.

DSC_3468“Program ini juga memberikan landasan kepada komuniti untuk bertemu dan beramah mesra di samping menjalankan aktiviti riadah yang sihat.

“Ia sekali gus meningkatkan lagi imej MPSJ selaku pentadbir perbandaran yang mesra komuniti dan alam sekitar berdasarkan konsep program yang dianjurkan,” katanya dalam kenyataan.

Program terbabit dirasmikan dan dihadiri Yang DiPertua MPSJ, Dato’ Nor Hisham Ahmad Dahlan; Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo serta Ahli Dewan Negeri Kinrara, Ng Sze Han.

Program itu juga kerjasama MPSJ bersama penaja utama KPMC Puchong, Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang dan Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 16.

Penyertaannya percuma dan terbuka kepada individu berumur 15 tahun ke atas, menggunakan basikal yang mempunyai ciri keselamatan iaitu mempunyai brek dan peserta diwajibkan memakai ‘helmet’ dan digalakkan menggunakan basikal jenis ‘mountain bike’.

Antara aktiviti yang terdapat ketika program kayuhan itu adalah pemeriksaan kesihatan percuma, derma darah, jualan barangan basikal dan cabutan bertuah turut diadakan dan pelbagai hadiah menarik juga disediakan.

-NFN-