Categories
NASIONAL

AMK: Lebih baik tangkap MO1 daripada takutkan mahasiswa

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 2 SEPT: Tindakan polis membuat intimidasi ke atas mahasiswa terlibat himpunan #TangkapMO1 amat dikesali, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menyifatkan langkah itu sebagai usaha menyekat kebebasan suara rakyat khususnya anak muda, Nik Nazmi turut menggesa siasatan ke atas sembilan mahasiswa terbabit dihentikan sekali gus mengembalikan hak rakyat untuk berhimpun dan bersuara.

“Anak muda ini membuktikan sifat patriotisme tertinggi apabila berani menganjurkan perhimpunan penting mendesak pihak berkuasa menangkap ‘Penjenayah Rasmi’ Malaysian Official 1 (MO1) yang merompak dan memalukan negara berikutan laporan Pejabat Keadilan Amerika Syarikat berkenaan 1MDB.

“Lebih baik tangkap MO1 daripada sibuk menakut-nakutkan mahasiswa,” katanya dalam kenyataan.

Nik NazmiSemalam, sembilan mahasiswa terdiri daripada Anis Syafiqah, Aqilah Zainuzi, Amir Abd Hadi, Luqman Hakim, Luqman Nulhakim, Khairol Najib, Suhail Wan Azahar, Isaiah Jacob dan Asheeq Ali termasuk Nik Nazmi juga Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Teo Kok Seong tampil ke IPD Dang Wangi memberi kerjasama kepada polis berkenaan himpunan #TangkapMO1, pada 28 Ogos lalu.

“Para demonstran mendesak penangkapan MO1 yang dikaitkan dengan penyelewengan berbilion wang rakyat Malaysia dan jika pihak kerajaan masih tidak mengakui mereka terlibat, mengapa perlu membuat siasatan ke atas perhimpunan ini?

“Sepatutnya pihak kerajaan juga bertungkus lumus memastikan penjenayah ini dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

-AA-