Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN cadang agihan Ehsan ASB dikekal, tumpu golongan B40

SHAH ALAM, 23 DIS: Pemberian dividen khas bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB) perlu dikekalkan dengan keutamaan kepada akaun golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).

Wakil rakyat Setiawangsa berkata langkah itu bagi memastikan golongan terbabit mendapat keuntungan lebih tinggi berbanding pemegang unit yang memiliki jumlah pelaburan besar.

Nik Nazmi Nik Ahmad menjelaskan hampir 80 peratus atau 7.4 juta pemegang unit ASB mempunyai unit kurang RM5,000 pada 2018 sementara 0.24 peratus memiliki RM500,001 dan ke atas.

Menurutnya, pemegang unit ASB dalam kalangan B40 hanya mempunyai RM4.1 bilion manakala 9.15 peratus teratas mempunyai RM127.5 bilion dalam dana unit amanah.

“Pendekatan ASB selama ini relevan ketika penubuhannya dahulu tetapi perlu ada penyesuaian agar penerima manfaat terbesar adalah golongan Bumiputera B40 dan M40,” katanya yang juga ketua pengelola setiausaha Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dalam kenyataan.

“Saya berasa tiba masanya untuk Permodanan Nasional Berhad (PNB) menjadikan pemberian dividen bertingkat sebagai dasar tetap bagi akaun B40 dan M40 seperti dilaksana Kumpulan Wang Simpanan Pusat Singapura.”

PNB hari ini mengumumkan agihan pendapatan 5.0 sen seunit untuk dana unit ASB bagi tahun kewangan berakhir 30 Disember 2020.

Pendapatan merangkumi 4.25 sen seunit dan agihan Ehsan 0.75 sen seunit bagi 30,000 unit pertama sempena ulang tahun ke-30 ASB.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ahli lebih sejuta, KEADILAN parti pelbagai kaum paling berjaya

SHAH ALAM, 12 OGOS: Jumlah keanggotaan KEADILAN melebihi sejuta sekali gus menjadi parti pelbagai kaum paling berjaya, kata setiausaha pengelolanya.

Nik Nazmi Nik Ahmad berkata selepas 21 tahun penubuhan, bilangan anggota parti mencecah 1,004,629 manakala kekuatan ranting ialah 1,108 di 222 cabang KEADILAN seluruh negara.

“KEADILAN mencatat pencapaian terbaik sejak penubuhannya dan perkembangan terkini membuktikan parti tetap utuh serta kuat dengan sokongan juga dukungan rakyat.

“Fakta ini membuktikan kekuatan KEADILAN sebagai parti massa, nasional dan pelbagai kaum paling berjaya dalam sejarah negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Nik Nazmi bagaimanapun mengingatkan pemimpin dan ahli supaya jangan cepat berpuas hati kerana pencapaian tersebut masih terlalu awal untuk diraikan.

“Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN melalui mesyuarat bulanannya pada 26 Julai lalu menggesa setiap lapisan kepimpinan parti mempergiatkan usaha menarik anggota dan penubuhan ranting baharu yang merupakan tumpuan utama sebagai persediaan berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal diadakan bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata permohonan keanggotaan boleh dibuat menerusi https://keanggotaan.keadilanrakyat.org/ manakala permohonan pembentukan ranting menerusi https://keadilanrakyat.org/index.php/ranting/

Categories
NASIONAL

Anggota Parlimen Setiawangsa sah bercerai talak satu

KUALA LUMPUR, 2 JUL: Anggota Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini sah bercerai talak satu dengan isterinya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini, selepas 14 tahun mendirikan rumah tangga.

Nik Nazmi, 37, selaku plaintif melafazkan cerai itu terhadap Dr Imaan Abdul Rahim, 36, sebagai defendan dalam kamar Hakim Syarie Zaim Md Yudin pada 9.45 pagi dan mahkamah merekodkan perceraian pasangan itu.

Peguam syarie Normawaddah Ramli yang mewakili Nik Nazmi mengesahkan pasangan itu bercerai secara baik dengan talak satu. Peguam syarie Fahda Nur mewakili Dr Imaan.

Semakan di mahkamah mendapati, Mahkamah Tinggi juga merekodkan penceraian secara baik, perintah berhubung nafkah anak, harta sepencarian, hak penjagaan anak, mutaah, hibah dan nafkah edah.

Nik Nazmi yang juga Ketua Setiausaha Pengelola KEADILAN dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN memfailkan penceraian itu mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 pada 30 Mei lepas.

Nik Nazmi tiba di mahkamah pada pukul 8.15 pagi manakala Dr Imaan tiba lebih awal dan mereka kemudiannya masuk ke kamar hakim pada 9.30 pagi.

Dalam 15 minit, pasangan itu keluar dari kamar hakim selepas prosiding dan menuju ke kenderaan masing-masing.

Pasangan tersebut telah mendirikan rumah tangga pada 7 Ogos 2005 dan hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Nik Ilhan yang kini berusia lapan tahun.

Sementara itu, Nik Nazmi dalam satu kenyataan media berkata, beliau dan bekas isterinya telah bersetuju untuk mengakhiri perkahwinan mereka.

“Saya bersyukur dengan perkahwinan yang pernah kami miliki, juga sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan yang diberikan kepada kami. Saya ingin memohon maaf atas kesakitan atau kesedihan yang dialami oleh mana-mana pihak, terutamanya keluarga kami.

“Kami fokus terhadap kegembiraan dan kesejahteraan anak kami dan kami komited untuk membesarkannya bersama-sama. Saya minta semua pihak menghormati privasi kami pada waktu ini. Tiada kenyataan lain yang akan dikeluarkan berkenaan isu ini,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pemuda bawa aspirasi belia

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 NOV: Angkatan Muda Keadilan (AMK) yakin suara anak muda, pada era Malaysia Baharu lebih didengari di peringkat nasional dan negeri melalui kemenangan 58 ahli Pakatan Harapan, pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kesemua wakil rakyat muda ini perlu memainkan peranan masing-masing dalam membawa aspirasi belia, hari ini.

“Kita mempertaruhkan 104 calon anak muda, yakni 23 untuk parlimen dan 81 untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Saya bersyukur dan berbangga untuk mengatakan bahawa 13 berjaya menjadi Ahli Parlimen dan 45 menjadi ADUN,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar, pada Kongres AMK 2018, di IDCC di sini, hari ini.

Katanya, AMK dan Pemuda PAKATAN mesti berada di barisan hadapan untuk menerajui perubahan politik Malaysia dengan menyokong parti, gabungan serta kerajaan.

Bagaimanapun katanya, pada masa sama, AMK dan Pemuda PAKATAN hendaklah tidak takut menegur pemimpin dan kerajaan apabila perlu.

 

Categories
NASIONAL

“Yes Bos, Yes Madam” bukan DNA anggota KEADILAN

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 NOV: Berbeza dengan amalan Umno, anggota KEADILAN menolak budaya mengampu dengan bersetuju secara membuta tuli terhadap setiap keputusan kepimpinan parti.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, budaya Umno itu akhirnya merosakkan parti sendiri.

“Kami berbeza dengan Umno, kenapa Umno jadi macam tu? Kerana semuanya ‘yes bos’, ‘yes madam’ dan ini akhirnya mendatangkan masalah kepada mereka.

“Kita tak mahu jadi macam tu di mana ini budaya KEADILAN dan cuba kita suruh orang KEADILAN duduk diam, dia tak akan duduk diam kerana ini memang DNA kami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar Ketua AMK di Kongres AMK 2018 di IDCC di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, anggota KEADILAN tetap bersatu di bawah satu perjuangan membawa obor reformasi.

Katanya, beliau percaya semua anggota AMK akan kembali memperkukuhkan parti selepas Pemilihan KEADILAN 2018, baru-baru ini

Categories
NASIONAL

AMK perlu bersatu di bawah kepimpinan Anwar

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 NOV: Anggota Angkatan Muda KEADILAN (AMK) diseru kembali bersatu di bawah kepimpinan Presiden baru, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, anggota AMK juga mampu memberi sumbangan kepada parti bagi menghadapi pelbagai cabaran, pada masa akan datang.

Pada masa sama, beliau percaya sebagai sayap parti, AMK mampu mencipta pelbagai sejarah baru yang membanggakan.

“Kita berharap seperti disebut Timbalan Presiden, semalam selepas kita melalui satu proses pemilihan yang panjang, menarik dan bewarna warni.

“Maka, sekarang fokusnya untuk kembali mengukuhkan kekuatan membantu menjadikan pasukan Datuk Seri Anwar Ibrahim, presiden baru kita sebagai pasukan mantap,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar Ketua AMK, pada Kongres AMK di IDCC di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika mengulas berkenaan ketidakhadiran Rafizi Ramli, pada Majlis Perasmian AMK dan Wanita KEADILAN malam tadi, Nik Nazmi berkata, ia bukan sesuatu yang pelik.

Katanya, sudah menjadi tradisi KEADILAN hanya beberapa pimpinan tertinggi sahaja yang menghadiri Kongres AMK.

“Kenapa Datuk Seri Anwar Ibrahim tak hadir tak tanya pula? Ini memang sudah jadi tradisi sejak dulu,” katanya.

Categories
SUKANKINI

Nik Nazmi pula tawar diri bertanding Presiden KLFA

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yakin mampu menerajui Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) berdasarkan kebolehan dan minat mendalam terhadap sukan bola sepak tanah air.

Sehubungan itu, beliau menawarkan diri bertanding merebut jawatan Presiden dalam pemilihan persatuan itu, bermula 18 November ini.

Katanya, beliau yakin dengan kebolehan diri dan mampu menawarkan sesuatu bagi perkembangan serta kemajuan bola sepak Kuala Lumpur.

“Apa yang saya ada ialah kebolehan dan jaringan mencukupi bagi menjayakan misi ini serta saya memang peminat bola sepak dengan perkara pertama dilakukan apabila diangkat menjadi Ahli Parlimen Setiawangsa ialah menubuhkan Setiawangsa Rangers,” katanya di Parlimen.

Beliau berkata, kebolehannya patut dinilai dari aspek pengurusan, pemasaran dan organisasi serta tidak melihat dirinya sebagai ahli politik.

Malah, katanya, kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkenaan larangan ahli politik menerajui persatuan sukan adalah sekadar cadangan dan bukan satu paksaan.

“Saya juga tidak terbabit dalam mana-mana pentadbiran anak syarikat kerajaan yang membolehkan saya kawal untuk diselewengkan dan sebagainya.

“Penyelengan turut boleh berlaku membabitkan sesiapa sahaja tanpa mengira pimpinan politik atau bukan, malah kebolehan mentadbir tidak semestinya membabitkan ahli sukan berjaya contohnya Zenidine Zidane yang dilihat cemerlang sebagai pemain dan jurulatih tetapi tidak pada aspek lain,” katanya.

Berkenaan tawaran sama daripada Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, Nik Nazmi berkata, persaingan antara mereka adalah sihat dan tiada kaitan dengan politik.

“Beliau sahabat saya dan kita bersaing bukan dalam politik dan akan berlaku secara sihat,” katanya.

Categories
NASIONAL

Klinik Guaman Percuma untuk warga Titiwangsa

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 JUL: Parlimen Setiawangsa menawarkan perkhidmatan guaman secara percuma kepada orang awam khususnya penduduk tempatan membabitkan kes sivil, jenayah dan syariah.

Ahli Parlimennya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perkhidmatan itu dilaksanakan bagi memudahkan penduduk Setiawangsa yang mempunyai masalah perundangan mendapat kemudahan guaman secara mudah.

“Program ini merupakan inisiatif antara diri saya dan sekumpulan peguam untuk menghapuskan stigma bahawa mendapatkan nasihat guaman mempunyai implikasi kos yang besar.

“Antara kes di Setiawangsa yang saya harap dapat ditangani melalui pelancaran Klinik Guaman ini termasuk kes kewarganegaraan, hakmilik tanah dan hal-hal kekeluargaan.

“Saya benar-benar berharap penduduk Setiawangsa mengambil kesempatan untuk menggunakan kemudahan ini,” katanya dalam kenyataan.

Borang permohonan nasihat guaman itu boleh diperolehi di pejabat Parlimen Setiawangsa ataupun secara atas talian di
https://niknazmi.com/amk/borang-klinik-guaman-setiawangsa/

Katanya, menerusi permohonan diterima, pasukan guaman akan ambil tindakan lanjut, sama ada dengan menetapkan temujanji ataupun melalui surat.

Difahamkan Klinik Guaman itu akan berpusat di Bilik Gerakan Utama Parlimen Setiawangsa.

Categories
NASIONAL

Inisiatif Mohamad Sabu siasat skandal kembali keyakinan rakyat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 24 MEI: Komitmen Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyiasat dakwaan skandal membabitkan kementerian itu disifatkan sebagai langkah terbaik mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap institusi awam negara.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, penyiasatan teliti itu diyakini akan membongkarkan salah laku dan penyalahgunaan kuasa semasa pentadbiran lama.

Katanya, Kerajaan Malaysia kini mengambil serius isu penyelewangan yang memberi kesan buruk kepada pentadbiran dan kewangan negara.

“Kepentingan warga pertahanan negara harus diutamakan kerana mereka menggadai nyawa demi mempertahankan kedaulatan negara.

“Jika terdapat sebarang penyelewengan, ia boleh menjejaskan kemampuan mereka untuk melaksanakan tanggunjawab dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Nik Nazmi berkata, rakyat tidak mahu melihat hal membabitkan keselamatan negara dikompromi ekoran kegagalan menyediakan aset dan pembekalan sempurna,

“Amalan rasuah, pemberian kontrak kepada syarikat kroni dan pembelian aset tidak menepati piawaian dharuslah dihentikan serta merta, manakala setiap kontrak yang dimeterai harus dilihat semula dari segi faedah serta kos kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kita juga harus memperkasakan semula pertahanan negara dan saya percaya Menteri Pertahanan akan menjalankan tugas ini dengan telus serta penuh bertanggungjawab dalam kita membina semula negara,” katanya.

Terdahulu, Mohamad Sabu menandatangani nota terima tugas dan berjanji untuk menyiasat dakwaan membabitkan kementeriannya, termasuk isu dua unit kapal selam Scorpene yang mencetuskan kontroversi.

Tindakan itu akan diambil berdasarkan bukti kukuh dan siasatan rapi, bukan hanya mendengar cakap-cakap (hearsay).

Categories
NASIONAL

Putrajaya sedia hadapi Malaysia baru!

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 APR: Exco Kerajaan Negeri, Nik Nazmi Nik Ahmad optimis, masyarakat Malaysia bersedia membina Malaysia baru yang ditunjangi pentadbiran Pkatan Harapan (PAKATAN) di Putrajaya.

Beliau berkata, keyakinan itu didorong kredibiliti PAKATAN yang menawarkan pilihan terbaik kepada pembaharuan masa depan negara.

“Masanya sudah tiba kita meninggalkan ketakutan, skandal dan perpecahan masa lampau.

“Negara kita bersedia untuk harapan baru, selain kehidupan lebih baik dan adil untuk rakyatnya.

“Pilihannya ini adalah jelas, kekal pada takuk lama atau bergerak ke hadapan bersama-sama sebagai rakyat Malaysia.

“Lebih penting lagi, PRU14 (Pilihan Raya Umum 14) penting untuk memperkukuhkan dan menghidupkan demokrasi sebagai prinsip asas kehidupan kita sebagai warganegara,” katanya dalam kenyataan.

Justeru katanya, rakyat perlu melakukan pembaharuan dengan menolak parti pimpinan kleptokrat yang terus mencemarkan imej negara di peringkat antarabangsa.

“Saya menyeru semua rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda untuk mengundi.

“Masa depan Malaysia dan anda adalah di tangan anda. Mari kita membina negara dan memenuhi harapan,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembubaran Parlimen berkuatkuasa 7 April ini.

Pembubaran dibuat selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V.

Perkenan itu juga bakal memberi laluan kepada PRU14, diadakan.

Categories
NASIONAL

1MDB : Apa tindakan pihak berkuasa Malaysia?

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 MAC: Pendedahan mengenai dakwaan cubaan rakan rapat Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berunding dengan ahli perniagaan Jho Taek Low atau nama popularnya “Jho Low” supaya kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) digugurkan kini kembali menjadi tumpuan.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PAKATAN), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, namun sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan daripada pihak berkuasa Malaysia berkenaan kes besar itu.

“Pendedahan ini dibuat selepas rampasan kapal layar Equanimity di Bali ini membawa skandal 1MDB kembali dalam tumpuan.

“Apabila pihak berkuasa seluruh dunia memberi fokus kepada skandal ini, kita wajib bertanya, apa yang dibuat pihak berkuasa Malaysia?,” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Nazmi berkata, Wall Street Journal (WSJ) pernah menerbitkan tuduhan baru berkaitan skandal 1MDB.

“Menurut WSJ, penyumbang utama Parti Republikan Elliott Broidy dan isterinya, peguam Robin Rosenweig mengadakan perbincangan dengan Jho Low mengenai kontrak perundingan.

“Broidy dilaporkan rapat dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. Artikel WSJ mendakwa bahawa salah satu terma kontrak adalah yuran 75 juta dolar Amerika (RM295 juta) sekiranya Jabatan Kehakiman (DOJ) menghentikan siasatan skandal 1MDB,” katanya.

Malah, Nik Nazmi dalam kenyataanya berkata, Broidy juga pernah menyediakan nota percakapan (talking point) untuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak semasa lawatan ke Washington DC pada 2017 untuk bertemu dengan Presiden Trump.

Beliau berkata, Broidy di samping firma guaman Rosenweig, Colfax Law Office Inc., kedua-duanya menafikan mewakili Malaysia atau pemimpinnya atas sebarang kapasiti.

“Mereka mengakui firma mereka dilantik Pras Michel, sahabat Low bertujuan memberikan nasihat strategik sebagai pasukan yang lebih besar kepada Low,” katanya.

Categories
NASIONAL

PAKATAN optimis bantu rakyat miliki rumah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 15 FEB: Pakatan Harapan (PAKATAN) optimis peralihan kuasa kepada gabungan itu mampu menyelesaikan krisis kesukaran rakyat memiliki kediaman sendiri, pada masa kini.

Ketua Pemudanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak gagal mengotakan janji menyediakan rumah mampu milik, pada kadar berpatutan kepada rakyat.

Beliau berkata, pihaknya juga menjanjikan pembinaan sejuta rumah mampu milik dalam dua penggal dan tekad bekerjasama dengan semua pihak untuk memastikan ia terlaksana.

“Kami juga menggariskan penghasilan kerja baru dan peningkatan gaji minima RM1,500.

“Jika negara ini terus di jalan ini, percayalah majoriti rakyat tidak akan mampu memiliki rumah sendiri dan ini bukanlah masa depan yang kita mahukan.

“Ini harus diubah, dan ia hanya akan boleh diubah jika kita menukar Kerajaan Persekutuan sedia ada,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, kaji selidik terkini Bank Negara Malaysia (BNM) membabitkan isu perumahan di Malaysia dilaporkan berada pada tahap ‘tidak mampu dan genting’ berdasarkan piawaian antarabangsa.

BNM menggariskan beberapa faktor utama menyebabkan berlakunya hal berkenaan iaitu; bekalan dan permintaan tidak sepadan, lebih banyak rumah dibina pada tahap tidak mampu serta pendapatan isi rumah meningkat, pada kadar lebih perlahan daripada harga rumah.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, pendedahan itu membuktikan krisis perumahan negara berada pada tahap membimbangkan dan perlu diselesaikan segera.

“Sekali lagi negara ini perlu menerima hakikat kita mempunyai masalah besar berkenaan kemampuan dalam sesuatu perkara asas seperti perumahan.

“Semakin banyak keluarga tidak mampu memiliki rumah sendiri dan generasi muda pula perlu bergelut dengan kenaikan kos hidup serta hutang banyak, apatah lagi untuk memiliki rumah sendiri,” katanya.