Categories
NASIONAL

Azmin anggap Muhyiddin teman sejati perjuangan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SABAK BERNAM, 3 SEPT : Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menganggap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai teman perjuangan politik sejak 1998.

Walaupun berbeza fahaman dan prinsip perjuangan politik diawalnya, Mohamed Azmin berkata, Muhyiddin teguh berpegang kepada prinsip persahabatan.

Beliau mengimbau pemecatan Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri, 18 tahun lalu oleh regim Umno Barisan Nasional.

“Ketika Datuk Seri Anwar dipecat, Tan Sri Muhyiddinlah pemimpin Umno waktu itu yang datang berjabat salam dan mendoakan kesejahteraan Anwar.

“Tidak ada pemimpin kabinet yang datang ke rumah Anwar apabila beliau dipecat. Namun atas dasar prinsip persahabatan, Tan Sri Muhyiddin satu-satunya pemimpin yang berjumpa Anwar.

“Inilah teman sejati kita di dalam perjuangan ini,” kata Mohamed Azmin ketika bercakap pada Program Jelajah 1MDB di Stadium Mini Sabak Bernam, malam tadi.

Hadir sama, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua, Shamsul Iskandar dan Dr Xavier Jayakumar.

18 tahun lalu, Anwar dipecat susulan pendakwaan politik dan tuduhan kerajaan pemerintah yang bertujuan mematikan karier politik bekas Ketua Pembangkang Malaysia itu.

Susulan detik itu, kebangkitan Reformasi dipimpin isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah mengubah landskap politik negara sekali gus membentuk Parti Keadilan Nasional (KeADILan).

EZY