Categories
SUKANKINI

Berbasikal ‘Fun Race’ semarak aktiviti sihat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 SEPT: Seramai 70 ahli kelab berbasikal Selangor Bio Bay menyertai acara kayuhan ‘Fun Race’, di sini.

Fun Race terbabit turut disertai oleh Exco Pelaburan, Perindustrian IKS, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum, Mahmud Abbas.

Turut menyertai Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Hasan Azhari.

Acara kayuhan sejauh 20 kilometer bagi kategori Folding Bike dan 40 kilometer bagi Mountain Bike itu bermula di Bukit Jelutong serta melalui beberapa jalan utama sekitar Paya Jaras dan Elmina.

Mahmud berkata program santai terbabit merupakan julung kali diadakan di negeri itu membabitkan kelab terbabit.

“Penubuhan kelab ini sudah setahun, baru-baru ini kelab ini ke Busan, Korea dan dijangka tahun depan kita akan ke sana lagi.

“Disamping melakukan aktiviti sihat, kita juga membawa nama kita untuk lebih dikenali sekaligus meneruskan misi mempromosikan Selangor Bio Bay dalam dan luar negara,” katanya ketika ditemui.

Januari lalu, Central Spectrum menganjurkan acara kayuhan basikal ‘Ride For Glory’ yang bakal diangkat menjadi program tahunan ekoran sambutan yang menggalakkan dari dalam dan luar negara.

Selangor Bio Bay bakal menjadi pelaburan berimpak tinggi melalui penghasilan produk bioteknologi dan sains hayat.

Ia adalah industri masa hadapan bagi mewujudkan pembangunan komprehensif di negeri itu.

Bio Bay juga menerapkan pemeliharaan alam sekitar seperti pembinaan trek basikal dan taman rekreasi untuk kemudahan masyarakat di Pulau Indah.

EZY