Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Exco Selangor: Tiada keperluan PRN, kekal mandat rakyat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 22 SEPT: Exco Kerajaan Negeri mengambil pendirian supaya tidak diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk tempoh lima tahun sebelum mandat yang diberikan rakyat pada pilihan raya lalu berakhir.

Menyokong kenyataan Dato’ Menteri Besar, Dato’Seri Mohamed Azmin Ali, Exco Kesihatan Dr Daroyah Alwi berkata, kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran negeri perlu diteruskan sebelum tempoh lima tahun berakhir.

“Perkara ini sudah dibincangkan secara panjang lebar. Namun, seperti yang Dato’ Menteri Besar nyatakan bahawa Selangor tidak akan mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat.

YB Daroyah“Kerajaan Negeri mengambil pendirian daripada pelbagai sudut kerana kita tidak mahu rakyat Selangor yang memberikan mandat kepada kita, kemudian semudahnya untuk diadakan PRN.

“Mengapa perlu diadakan sedangkan mandat itu diberikan rakyat, pada masa sama banyak lagi perkara yang kita ingin laksanakan untuk kemaslahatan rakyat,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Kenyataan tersebut turut disokong Exco Agama, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri yang menyambut baik usaha untuk tidak diadakan pilihan raya negeri mengejut.

“Mandat daripada rakyat cukup jelas kepada kerajaan yang dipilih, ketiga-tiga parti ketika itu adalah untuk lima tahun. Yang penting adalah pendirian Kerajaan Negeri, bahkan Dato’ Menteri Besar sudah membuat kenyataan bahawa tidak perlu, saya ingat itu keputusan yang terbaik,” katanya.

eanyongSementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Ean Yong Hian Wah berkata, sebarang keputusan perlu dilihat sebagai satu pasukan demi kelangsungan dan manfaat buat rakyat Selangor.

“Perlu satu keputusan supaya isu ini tidak lagi ditimbulkan dan sebarang keputusan, komponen perlu dilihat sebagai satu pasukan dengan satu suara,” katanya,

Isu untuk diadakan semula PRN wujud selepas berlakunya pertikaian mengenai proses persempadanan semula yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pada 15 September lalu.

-NFN-