Categories
SELANGOR

Gangguan bekalan air disyaki perbuatan khianat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 30 SEPT: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah mengambil tindakan terhadap pihak didakwa terbabit dalam kejadian gangguan bekalan air di Klang dan Petaling Jaya, 1 September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman berkata, hasil siasatan dijalankan Air Selangor mengenai perkara itu mendapati berlaku perbuatan khianat dan pihaknya telah menggantung kerja seorang kakitangannya, 6 September lalu.

Katanya, laporan polis juga dibuat pada 9 September lalu serta laporan siasatan mengenainya dikemukakan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk penilaian lanjut.

suhaimi-kamaralzaman“Air Selangor akan bekerjasama dengan mana-mana pihak berkuasa berkenaan penyiasatan ini dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan disiplin tegas ke atas warga kerja ini termasuk pemecatan kerja.

“Kita memandang berat kejadian ini kerana menyusahkan lebih 340,000 pengguna dan rakyat Selangor sewaktu gangguan bekalan air,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku di Klang dan Petaling Jaya, menjejaskan lebih 39,000 akaun di 24 kawasan di Klang dan 29,000 akaun di 27 kawasan di Petaling, terutamanya kawasan Sime UEP.

Bagaimanapun, katanya, ia berjaya dipulihkan keesokan harinya.

“Kita sedang memantau aset dan sistem penting bekalan air secara teliti untuk memastikan kejadian seperti ini tidak berulang dan mengelakkan sebarang kejadian gangguan bekalan air akibat kecuaian warga kerja,” katanya.

-nR-