Categories
SELANGOR

‘Ibrah’ qurban singkap makna pengorbanan sebenar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 13 SEPT : Kisah pengorbanan keluarga Nabi Allah, Nabi Ibrahim A.S perlu menjadi iktibar sebenar buat seluruh masyarakat Islam untuk memahami pengertian Aidiladha.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata pengorbanan dilalui itu perlu berpandukan kepada nilai keikhlasan demi manfaat Allah SWT.

“Ambillah ibrah daripada pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim A.S yang mengorbankan sesuatu yang sangat bernilai bagi diri.

“Merasai benar erti pengorbanan itu dan semuanya dilakukan kerana Allah SWT,” katanya dalam perutusan sempena Aidiladha.

Masyarakat Islam seluruh dunia meraikan sambutan Aidiladha sejak semalam, pada 10 hingga 12 Zulhijjah ini.

yb-zaidySambutan itu sebagai mengenang peristiwa pengorbanan dilakukan Nabi Ibrahim yang diperintahkan untuk menyembelih puteranya, Nabi Ismail.

Patuh kepada perintah itu, Nabi Ibrahim mengorbankan Nabi Ismail menggunakan sebilah parang tajam, namun parang berkenaan tidak berfungsi seperti diharapkan.

Kejadian berkenaan adalah mukjizat Allah yang menegaskan bahawa perintah pergorbanan Ismail itu dianggap sebagai ujian kesetiaan nabiNya.

Lantas Nabi Ismail digantikan dengan seekor kambing untuk dikorbankan, sekali gus menjadi permulaan kepada sambutan Aidiladha di seluruh dunia.

-AA-