Categories
SELANGOR

Pendekatan baru bantu anak muda jiwai sejarah

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 12 SEPT: Anak muda harus diberi pendekatan berbeza dalam mengenal dan menjiwai sejarah kemerdekaan Malaysia mengikut peredaran zaman.

Pengarah Muzium Warisan Akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Shamsudin berkata, generasi belia hari ini sebenarnya cukup menghargai kemerdekaan cuma mereka tidak tahu bagaimana ingin membuktikan rasa cinta yang begitu mendalam terhadap negara.

“Kita perlu memulakan langkah pendekatan berbeza supaya sejarah itu jadi lebih menarik dan mudah untuk mereka fahami kerana golongan muda sebenarnya tidak menolak sejarah tetapi tidak tahu cara bagaimana untuk lebih mengenalinya.

dr-mohd-shamsudin“Kerjasama antara kerajaan, badan bukan kerajaan, universiti dan sekolah perlu memberi pendekatan serta kaedah baru dalam mendekatkan anak muda dengan sejarah selari dengan kemajuan teknologi kini,” katanya yang juga Pensyarah Sejarah Dasar Luar dan Malaysia Moden UKM.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Memori Kemerdekaan PPAS dan Majlis Pelancaran Buku ‘Persekutuan Malaysia 1961-1966:Penubuhan dan Cabaran’ di Auditorim PPAS, pada 9 September lalu.

Katanya, apabila anak muda mengenal sejarah secara tidak langsung mereka dapat membina jati diri dan menjadi rakyat yang baik.

“Antara yang boleh dilaksanakan adalah melalui sesi diaolog, forum atau ceramah tetapi dianjurkan anak muda itu sendiri melalui cara mereka selari dengan kemajuan teknologi dan idea baru yang menarik.

“Jadi, tidak adil mengatakan orang muda ini buta sejarah kerana seperti pelajar saya dalam jurusan sains dan kejuruteraan, ramai yang mendapat keputusan cemerlang dalam kertas sejarah, bahkan saya juga yakin dalam setiap hati orang muda mesti ada rasa sayang pada negara tetapi perlu diisi dengan cara betul,” katanya.

-NFN-