Categories
NASIONAL

Projek Taman Tugu membazir, elok salurkan kepada anggota keselamatan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 SEPT: Semua lapisan masyarakat di negara ini menyedari bahawa Projek Taman Tugu yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini adalah pembaziran nyata.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, berkata lebih membimbangkan apabila projek itu dicadangkan semasa negara berhadapan suasana ekonomi lembab dan hutang negara bertambah sehingga Kerajaan Persekutuan memotong peruntukan sektor pendidikan dan kesihatan.

“Kalaulah untuk mengenang jasa anggota keselamatan, lebih baik kerajaan tumpukan salurkan untuk kebajikan anggota keselamatan yang masih bertugas dan yang dah bersara. Itu lebih bermanfaat,” kata Tian Chua ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Ketika menyentuh kebimbangan sesetengah pihak mengaitkan projek itu sebagai platform Barisan Nasional (BN) untuk menyalurkan dana untuk digunakan dalam kempen pilihan raya, Tian Chia berkata beliau tidak mempunyai bukti ke atas dakwaan itu.

“Saya tidak ada bukti untuk berkata begitu tetapi memang wujud persepsi di kalangan masyarakat umum bahawa bila ada projek besar begini tentunya ada dana besar tertentu di salurkan kepada kontraktor dan ini sekaligus ini menjadi kembimbangan rakyat,” katanya lagi.

Terdahulu, Najib mengumumkan projek Taman Tugu di Kuala Lumpur yang melibatkan kos sebanyak RM650 juta di kawasan seluas 66 ekar sekitar Tugu Negara.

EZY