Categories
NASIONAL

Ringgit terus menunjukkan aliran menurun

KUALA LUMPUR 28 SEPT: Ringgit meneruskan aliran menurun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam dagangan awal hari ini.

Pada jam 9.02 pagi, ringgit disebut harga pada 4.1320/1370 berbanding dolar AS daripada 4.1220/1270 semalam, lapor BERNAMA.

Ia dipengaruhi oleh harga minyak yang lebih lemah ketika berlangsung mesyuarat Pertubuhan Negara Pengeskport Petroleum (OPEC).

Peniaga berkata, sentimen pasaran forex sudah dibelenggu oleh mesyuarat tiga hari OPEC yang bermula Isnin, terutama selepas Iran dan Arab Saudi mengurangkan jangkaan bagi perjanjian untuk mengehadkan pengeluaran minyak semalam.

Menurut laporan, kedua-dua negara menyifatkan mesyuarat itu sebagai ‘perhimpunan perundingan’ dan perbincangan dalam ‘perhimpunan hanya akan berfungsi sebagai pemanas badan untuk mesyuarat rasmi berikutnya pada November di Vienna’.

Perkembangan itu mendorong penanda aras global harga minyak mentah Brent jatuh 2.9 peratus kepada AS$45.97 setong, manakala harga minyak mentah di New York Mercantile Exchange turun 2.7 peratus kepada AS$44.67 setong.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain, kecuali euro.

Ia turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0382/0437 daripada 3.0322/0370 semalam dan sedikit lemah berbanding yen kepada 4.1074/1144 berbanding 4.1035/1093.

Unit tempatan juga susut berbanding pound British kepada 5.3716/3806 daripada 5.3335/3424, tetapi meningkat sedikit berbanding euro kepada 4.6316/6376 daripada 4.6352/6425.

EZY