Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor lulus RM4.5 juta lagi untuk kerja pengukuhan benteng

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUCHONG, 23 SEPT: Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM4.5 juta lagi untuk memastikan kerja pengukuhan benteng sepanjang persisiran pantai Selangor dijalankan sebelum fenomena air laut pasang besar yang dijangka melanda semula pada 16, 17 dan 18 Oktober, pertengahan November serta Disember ini.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan itu diluluskan pada taklimat khas oleh Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Selangor dan agensi berkaitan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang diadakan, semalam.

“JPS diarah melihat kekuatan benteng di sepanjang persisiran pantai Selangor khususnya di kawasan yang terlibat dengan banjir baru-baru ini di empat daerah iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang dan Kuala Langat.

AZMIN-500x357“Arahan dah diberikan, peruntukan juga diluluskan semalam sebanyak RM4.5 juta bagi memastikan kerja pengukuhan benteng dapat disiapkan sebelum pertengahan Oktober termasuk meninggikan benteng berkenaan supaya air laut yang tinggi ini tidak dapat membolosi benteng dan menimbulkan masalah kepada penduduk kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Persimpangan Bertingkat Dari LDP ke Jalan Utama 2, Puchong Utama, di sini, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri juga mengarahkan JPS mengeluarkan notis amaran bertulis kepada semua penduduk terlibat supaya lebih bersiap sedia menghadapi air laut pasang tinggi dan mengelakkan kerosakkan harta benda masing-masing.

Bermula 18 September lalu, fenomena air pasang besar menyebabkan beberapa kawasan pantai di Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam mengalami banjir.

-NFN-