Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor minat jalin kerjasama dengan Denmark

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 7 SEPT: Kerajaan Negeri berminat menjalin kerjasama dan berkongsi kepakaran bersama Denmark bagi menjayakan pelan tindakan teknologi hijau dan bandar raya lestari di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata formula Copenhagen diguna pakai bagi kelestarian bandar raya mampan amat mengkagumkan dan ia boleh diterjemahkan menerusi hubungan antara kedua-dua pihak.

“Kedua-dua pihak boleh menjalin kerjasama dalam situasi menang-menang demi menjalankan tanggungjawab memelihara kehijauan bumi ini,” katanya ketika berucap dalam Seminar Copenhagen Solutions For Sustainnable Cities, di sini, hari ini.

Turut hadir, Duta Besar Denmark ke Malaysia, Nicolai Ruge; Exco Kerajaan Negeri, Elizabeth Wong dan Ean Yong Hian Wah; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noordin Sulaiman dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Nor Azmie Diron.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri komited ke arah pembangunan bandar raya mampan dan menggerakkan usaha itu daripada pelbagai segi demi mewujudkan persekitaran baik untuk rakyat.

Sebagai contoh, katanya, dasar pengurusan hutan mampan yang dilaksanakan menyebabkan kawasan hutan di Selangor dapat dikekalkan dengan baik.

IMG_20160907_135129_754“Sebahagian besar kawasan hutan di Selangor diwartakan sebagai hutan simpan kekal iaitu 250.129 hektar atau 31.5 peratus daripada jumlah keluasan tanah, manakala kira-kira 175.090 hektar atau 70 peratus dikelaskan sebagai hutan terlindung.

“DYMM Sultan Selangor adalah penyokong kuat kempen ini dan kita bernasib baik baginda mengambil peranan aktif bagi memastikan kejayaannya,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut melaksanakan pelan tindakan Teknologi Hijau merangkumi lima Pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menerima pakai pelaksanaan Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon pada 2017 dan semua 12 PBT pada 2020.

Katanya, sebagai penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, Selangor adalah negeri paling progresif dan memulakan kempen menjadi #SmartSelangor.

“Kita percaya perubahan transformasi ini adalah perlu untuk membawa kita ke peringkat seterusnya dalam pembangunan industri dan ekonomi,” katanya.

-AA-