Categories
SELANGOR

Terus banteras aedes, hindari zika

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 5 SEPT: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Selangor menyarankan semua pihak bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk terus mempertingkatkan usaha membanteras pembiakan nyamuk Aedes bagi menangani wabak denggi dan Zika.

Radin AbimYang Dipertuanya, Radin Muhd Imaduddin Radin Abdul Halim berkata, pihaknya memandang serius penyebaran virus Zika yang mula menjangkiti rakyat tempatan walaupun pelbagai usaha ke arah pencegahan dijalankan pihak berkuasa.

“Berpandukan penerangan Kementerian Kesihatan Malaysia, kita berpandangan Kerajaan Negeri perlu meningkatkan usaha membanteras pembiakan nyamuk aedes dengan kerjasama semua pihak termasuk penduduk.

“Pada masa sama, ABIM Selangor menyeru penduduk negeri ini bersama bertindak memastikan tiada lagi takungan air yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes di kediaman dan tempat kerja masing-masing,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, pelbagai pihak dan masyarakat juga disarankan memperbanyakkan program gotong-royong membersihkan kawasan sekitar kediaman terutama dengan mengupayakan generasi muda untuk terbabit sama secara agresif.

-NFN-