Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

46,713 kes denggi setakat 30 Mei – CPRC

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Sejumlah 46,713 kes denggi dilaporkan dari 29 Dis tahun lepas hingga 30 Mei tahun ini, demikian menurut Laporan Situasi Semasa Denggi, Chikungunya dan Zika di Malaysia Bagi Tahun 2019 dan 2020.

Angka dikeluarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis Negara (CPCR) Kementerian Kesihatan menunjukkan penurunan sebanyak 6,228 kes (11.8 peratus) berbanding 52,941 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Laporan itu turut menyebut bahawa tidak kematian akibat denggi dilaporkan pada minggu ke-22 (24-30 Mei) 2020 dengan jumlah kumulatif 82 kematian berbanding 81 bagi tempoh sama tahun lepas.

“Sepanjang minggu ke-22 dalam tahun 2020, sejumlah 1,625 kes denggi telah dilaporkan yang menyaksikan penurunan sebanyak 8.8 peratus berbanding minggu sebelumnya,” menurut laporan yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di laman Facebook beliau hari ini.

Setakat minggu ke-22 tahun ini, Selangor mempunyai angka tertinggi kes denggi iaitu 26,943 kes diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (4,617) serta Johor (4,111).

Laporan CPRC turut menyatakan bahawa 48 kes Chikungunya dilaporkan sepanjang minggu ke-22 dengan jumlah keseluruhan 596 kes dicatatkan dari 29 Disember tahun lepas hingga 30 Mei 2020.

Menurut laporan itu, Pengawasan Zika dilakukan oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dari 29 Dis 2019 hingga 30 Mei 2020 manakala saringan dilakukan ke atas sampel darah dan air kencing individu dengan gejala disyaki namun tiada kes positif zika dilaporkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KKM: 39,002 kes denggi sehingga 25 April, turun 9.4 peratus

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Sejumlah 39,002 kes denggi dilaporkan dari 29 Disember 2019 hingga 25 April tahun ini, menurut Laporan Situasi Semasa Denggi, Chikungunya dan Zika di Malaysia 2019 dan 2020.

Perangkaan yang dikeluarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan penurunan sebanyak 4,063 kes (9.4 peratus) denggi daripada 43,065 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Laporan itu juga menyatakan hanya satu kematian akibat denggi dilaporkan pada minggu ke-17 (19 hingga 25 April) 2020 dengan jumlah kumulatif 64 kematian berbanding 67 kematian dalam tempoh sama tahun lepas.

“Sepanjang minggu ke-17 tahun ini, sejumlah 1,301 kes denggi dilaporkan , meningkat 11 peratus berbanding minggu sebelumnya,” kata laporan itu yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di laman Facebooknya hari ini.

Sehingga minggu ke-17 tahun ini, Selangor merekodkan kes denggi tertinggi dengan 23,402 kes. Ia diikuti Kuala Lumpur (3,243 kes) dan Johor (3,242 kes).

Menurut laporan CPRC itu juga, 13 kes chikungunya dicatatkan sementara tiada kes positif zika dilaporkan dari 29 Dis 2019 hingga 25 April tahun ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan berbangga kerana dapat menyertai Gabungan Kajian Klinikal dalam mencari penyelesaian yang memberi manfaat kepada manusia.

“Kami berdepan dengan ancaman global COVID-19 yang amat mencabar dan kehidupan kita semua akan terjejas,” katanya sebagaimana dipetik Drugs for Neglected Diseases initiative (DNDi) di laman Facebook hari ini.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Lelaki tinggal di Petaling Jaya sah kes Zika ke-8

PUTRAJAYA 18 DIS: Lelaki menetap di Petaling Jaya, Selangor disahkan dijangkiti Zika pada 14 Disember lalu sekali gus kes kelapan di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit berusia 67 tahun itu mengalami gejala demam, loya dan cirit-birit pada 28 November lalu serta mendapatkan rawatan pertama tiga hari kemudian di Klinik Kesihatan Tangling, Kuala Lumpur.

“Sejarah pergerakan pesakit dari 14 hingga 28 November lalu menunjukkan dia berada di sekitar Kuala Lumpur, Shah Alam dan Perak.

“Ahli keluarga terdekat pesakit disiasat dan sampel darah serta air kencing diambil untuk ujian saringan Zika sebaik keputusan diketahui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, aktiviti kawalan juga dilaksanakan pada 11 Disember lalu membabitkan pemusnahan tempat pembiakan, penusnahan jentik-jentik, pendidikan kesihatan dan semburan di kawasan kediaman dan tempat lain yang pernah dilawati pesakit.

Bermula 1 September hingga 14 Disember lalu, lapan kes disahkan positif Zika di seluruh negara.

zikaPemantauan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dari Jun 2015 sehingga 10 Disember lalu mendapati ujian bagi 1,633 sampel darah dan air kencing pesakit yang menunjukkan gejala virus Zika adalah negatif.

Masyarakat dinasihatkan untuk memastikan kawasan di dalam dan di luar rumah sentiasa bersih dan bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Selain itu, langkah-langkah perlindungan diri daripada gigitan nyamuk perlu diamalkan seperti menggunakan repelen atau pakaian cerah serta menutup anggota badan.

Bagi individu yang mengalami gejala Zika seperti demam, ruam, sakit kepala, sakit otot dan konjunktivitis serta pernah melawat ke negara endemik Zika atau mempunyai kontak kepada pesakit Zika, hendaklah berjumpa doktor dengan kadar segera.

Sejarah perjalanan ke negara berendemik zika atau kontak kepada pesakit zika hendaklah dimaklumkan kepada doktor yang merawat.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Khidmat kawalan serangga tangani denggi & zika

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 3 DIS: Khidmat Pest Controller Operator (PCO) dijangka akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat dalam usaha menangani wabak denggi dan zika di Selangor.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, perlaksanaan khidmat PCO itu dijalankan serentak di seluruh Selangor.

Katanya, Kerajaan Negeri sedang mengenal pasti kawasan dan tapak untuk dilaksanakan.

“Peruntukan sebanyak RM5 juta seperti diumumkan dalam Belanjawan Selangor 2017 sudah tersedia dan kita laksanakan pada bila-bila masa.

“Ketika ini, kita sedang mencari tapak atau kawasan yang dikenalpasti untuk dilaksanakan,” katanya kepada SelangorKini.

Dr Daroyah berkata PCO yang dilantik itu melaksanakan kawalan fogging dan larvasiding sekaligus membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Dalam menangani wabak ini, khidmat PBT dan Pejabat Kesihatan Daerah tidak cukup. Jadi, kita perlukan khidmat PCO kerana mereka mempunyai kemahiran dan peralatan.

“Biasanya PCO dilantik oleh pemaju atau syarikat untuk membuat kawalan di tapak binaan,” katanya.

Beliau berharap dengan khidmat PCO yang bakal diwujudkan itu nanti membantu PBT yang kekurangan dana atau PBT yang mempunyai hotspot tinggi.

Pada masa sama, Dr Daroyah memaklumkan kes denggi di seluruh negeri menurun kepada hanya 572 kes pada minggu lalu.

Bagaimanapun, katanya, kawalan denggi dilakukan oleh Kerajaan Negeri diteruskan walaupun berlaku penurunan mendadak.

“Sepatutnya musim hujan, trend kes denggi meningkat tetapi ia menurun dan kita teruskan kerja pengawalan seperti dilakukan sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri meningkatkan peruntukan kawalan dan pencegahan denggi dan zika secara holistik bagi 2017 kepada RM5 juta berbanding hanya RM1.5 juta bagi 2016.

Peruntukan itu digunakan menambah aktiviti kawalan dengan menambah penggunaan PCO dan penguatkuasaan undang-undang dipertingkatkan terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menyumbang kepada wabak terbabit.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Bersama perangi aedes, elak jadi mangsa Virus Zika

OLEH SYASYA SUFIAN

KELANA JAYA, 21 SEPT: Masyarakat disaran bertindak agresif atas kesedaran sendiri memastikan persekitaran rumah bersih daripada tempat pembiakan nyamuk aedes.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Damansara Utama, Yeo Bee Yin, berkata sekiranya masyarakat ingin menghapuskan penularan demam denggi dan jangkitan virus Zika, mereka perlu terlebih dahulu bertindak melenyapkan nyamuk Aedes kerana kedua kes tersebut membiak dari nyamuk sama.

“Kebanyakkan penduduk sering menyalahkan kerajaan apabila berlaku kes demam denggi dan virus zika kerana tempat awam yang tidak bersih.

“Namun setelah Pejabat Kesihatan Daerah membuat kajian, separuh daripada kes berpunca daripada rumah itu sendiri, penduduk perlu mengambil inisiatif menghapuskan tempat pembiakan dengan memastikan tiada takungan air jernih yang boleh mengundang kewujudan jentik-jentik,” katanya.

img_2624Beliau berkata demikian kepada SelangorKini selepas kempen Anti Zika dan Denggi di LRT Taman Bahagia, di sini, hari ini.

Katanya, kes demam denggi di sekitar kawasan hotspot juga menunjukkan pengurangan seperti di SS21 hanya 2 kes, SS22 (4 kes), SS25 (2 kes) dan SS17A (4 kes).

Selain itu, penduduk juga dinasihatkan untuk mendapatkan ‘repellent’ iaitu sejenis losyen atau semburan untuk mencegah gigitan nyamuk.

“Pemakaian gelang, ‘sticker’ atau klip pencegah tidak memberi perlindungan sepenuhnya dengan efektif berbanding losyen atau semburan.

“Penduduk yang mempunyai urusan di tempat potensi Zika seperti Singapura disaran juga membawa dan memakai ‘repellent’ tersebut bagi melindungi badan dari gigitan nyamuk aedes,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Dua lagi kes Zika dikesan libatkan adik-beradik

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Dua lagi kes jangkitan virus Zika melibatkan adik-beradik dikesan di Miri, Sarawak dan Setapak, Kuala Lumpur, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak enam kes dilaporkan di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, berkata kes kelima melibatkan wanita berumur 35 tahun yang hamil dua bulan di Miri, dan pernah bekerja di Singapura sebelum ini.

Kali terakhir wanita itu melawat Singapura selama enam hari iaitu antara 24 hingga 29 Julai, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pesakit itu telah ke klinik swasta di Miri pada 6 September lepas kerana mengalami demam yang berpanjangan dan selesema serta sakit tekak.

“Keputusan ujian Zika yang dihantar ke makmal swasta di Kuala Lumpur dan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menunjukkan keputusan adalah positif untuk Zika,” katanya lapor BERNAMA.

Dr Subramaniam berkata pesakit itu telah dimasukkan ke hospital di Miri pada Ahad lepas untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata kesemua enam anggota keluarga yang tinggal serumah dengan wanita itu tidak menunjukkan sebarang gejala dan tanda-tanda jangkitan Zika.

Bagaimanapun, katanya, kakaknya berusia 39 tahun dan tinggal di Setapak pula turut dijangkiti virus Zika selepas dimasukkan ke hospital di Kuala Lumpur pada Ahad lepas.

Menurutnya wanita itu mula menunjukkan gejala ruam selepas mengunjungi adiknya di Miri pada 26 Ogos lepas sebelum pulang ke Kuala Lumpur pada 6 September.

Sementara itu, berdasarkan pemantauan Kementerian Kesihatan sejak 1 September hingga 14 September lepas, sebanyak 68 kes yang didapati mempunyai tanda-tanda virus Zika telah dilaporkan, namun kesemua keputusan ujian adalah negatif, katanya.

“Kementerian ingin mengingatkan semua masyarakat termasuk wanita hamil, perlu melindungi diri dari gigitan nyamuk Aedes dengan menggunakan repelen atau pakaian cerah serta menutup anggota badan,” katanya.

Beliau berkata penggunaan aerosol juga digalakkan di dalam rumah terutama di bawah meja, belakang langsir atau tempat-tempat yang gelap terutamanya pada waktu nyamuk aktif menggigit antara jam 5 hingga 7 pagi dan jam 5 hingga 7 petang.

Bagi individu yang mengalami gejala seperti demam, ruam dan konjunktivitis serta mempunyai sejarah melawati kawasan yang melaporkan Zika juga dinasihatkan berjumpa doktor dengan segera, katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Penduduk digesa beri kerjasama perangi Zika

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 SEPT: Penduduk digesa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sempena Operasi Mega Denggi-Zika nanti.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata usaha PBT melakukan terjahan semata-mata adalah tidak memadai tanpa kerjasama penduduk.

“Pengalaman kita sebelum ini menunjukkan penduduk berat untuk memberi kerjasama, PBT datang sampai ke depan pintu rumah namun mereka enggan membuka pintu.

“Sedangkan kita mahu membantu penduduk di situ demi kebaikan mereka.

“Contoh terbaik hanya baru-baru ini operasi di Seksyen 7 apabila penduduk memberi kerjasama sepenuhnya, menunjukkan penduduk sedar peranan mereka,” katanya kepada Selangor Kini.

zika-virus-copyTerdahulu, Kerajaan Negeri mengeluarkan arahan pelaksanaan Operasi Mega Denggi-Zika bermula 13 September hingga 12 Oktober ini di seluruh Selangor.

Daroyah berkata, jawatankuasa dan persatuan penduduk juga perlu memainkan peranan membantu PBT dalam usaha memerangi denggi.

“Begitu juga dengan badan pengurusan bersama (JMB) di kawasan berstrata perlu menggesa penduduk bekerjasama.

“Tanpa kerjasama penduduk, kita bimbang usaha mega kita tidak dapat memberikan impak disasarkan,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Zika: Penduduk Petaling Jaya digesa bersih kediaman

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 SEPT: Penduduk di sekitar Petaling Jaya dinasihatkan untuk membersihkan kawasan rumah masing-masing bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes sekali gus membendung virus Zika.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menerusi laman Facebook berkata, pihaknya mahu penduduk lebih prihatin terhadap kebersihan di kediaman sendiri bagi memastikan perkara itu dapat ditangani.

“Luangkan masa 10 minit. Bersihkan persekitaran dalam dan luar rumah anda.

“Kita mahu kerjasama ini diteruskan penduduk Petaling Jaya,” katanya.

Pada masa sama, Unit Kawalan Vektor, Jabatan Kesihatan MBPJ akan melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah sekitar pentadbirannya dari masa ke masa.

Jika terdapat tempat pembiakan nyamuk, orang ramai boleh menghubungi bilik gerakan Unit Kawalan Vektor MBPJ di talian 03-79555473.

Dua hari lalu, kes pertama Zika di Malaysia membabitkan wanita mengandung berusia 27 tahun dikesan di Taman Desa Harmoni, Johor Bahru.

Manakala, sebelum ini, seorang wanita dari Bandar Botanik, Klang disahkan positif Zika.

-AA-

Categories
SELANGOR

Kekang kes denggi & Zika tanpa masyarakat panik

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 7 SEPT: Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengekang dan memberi penekanan lebih dalam kes membabitkan denggi dan zika tanpa membuatkan masyarakat panik.

Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei berkata, selain kawalan dan pencegahan, PBT harus mengadakan kempen dengan lebih berkesan kepada masyarakat sekitar bahaya wabak itu.

Katanya, banyak kes berlaku tanpa sedar membabitkan kawasan luar dan dalam rumah penduduk sendiri.

“Mereka tidak sedar, aedes membiak dalam rumah mereka sendiri melalui akuarium, pasu hiasan dan sebagainya.

“Jadi perebakan itu lebih berisiko. Oleh itu, PBT perlu memberi penekanan tanpa membuatkan masyarakat panik,” katanya di sidang media, di Hotel Premiere, di sini.

Shuhaimi berkata, gerakan gotong royong secara besar-besaran perlu dilakukan penduduk dengan kerjasama PBT bagi mengekang kes ini dari berlarutan.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Perbandaran Klang (MPK), Adi Faizal Ahmad Tarmizi mengesahkan banyak jentik-jentik ditemui dalam rumah penduduk melalui pemeriksaan dilakukan MPK.

“Mereka ini diberikan notis bagi pertama kali dan dikompaun bagi kes dua dan seterusnya,” katanya.

Minggu lalu, Kementerian Kesihatan mengesahkan seorang wanita dari Bandar Botanik, Klang yang dikenal pasti dijangkiti virus Zika selepas pulang dari melawat anaknya di Singapura menjadi kes pertama wabak itu di Malaysia.

Wanita berkenaan berada di Singapura selama tiga hari bermula 19 Ogos lalu bagi melawat anak perempuannya yang disahkan dijangkiti Zika di Singapura.

Selepas pulang dari negara berkenaan, wanita berusia 58 tahun itu mengalami beberapa gejala Zika seperti demam serta ruam di beberapa anggota badan dan mendapatkan rawatan di klinik swasta pada 30 Ogos lalu.

EZY

Categories
SELANGOR

Terus banteras aedes, hindari zika

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 5 SEPT: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Selangor menyarankan semua pihak bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk terus mempertingkatkan usaha membanteras pembiakan nyamuk Aedes bagi menangani wabak denggi dan Zika.

Radin AbimYang Dipertuanya, Radin Muhd Imaduddin Radin Abdul Halim berkata, pihaknya memandang serius penyebaran virus Zika yang mula menjangkiti rakyat tempatan walaupun pelbagai usaha ke arah pencegahan dijalankan pihak berkuasa.

“Berpandukan penerangan Kementerian Kesihatan Malaysia, kita berpandangan Kerajaan Negeri perlu meningkatkan usaha membanteras pembiakan nyamuk aedes dengan kerjasama semua pihak termasuk penduduk.

“Pada masa sama, ABIM Selangor menyeru penduduk negeri ini bersama bertindak memastikan tiada lagi takungan air yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes di kediaman dan tempat kerja masing-masing,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, pelbagai pihak dan masyarakat juga disarankan memperbanyakkan program gotong-royong membersihkan kawasan sekitar kediaman terutama dengan mengupayakan generasi muda untuk terbabit sama secara agresif.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Zika: Jangan panik, ambil langkah pencegahan setiap hari

Klang, 5 SEPT: Penduduk sekitar Klang khususnya di Ambang Botanic disaran mengambil langkah pencegahan dan tidak panik ekoran kes virus Zika pertama yang dilaporkan, baru-baru ini.

Ahli Dewan Negeri Sri Muda, Shuhaimi Shafie berkata, penduduk disaran memberi tumpuan pembersihan di kawasan persekitaran rumah setiap hari dalam tempoh satu hingga dua bulan.

“Penduduk tidak perlu panik kerana kes yang berlaku di kawasan ini datang daripada luar dan kita harap keadaan akan pulih dengan kawalan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diri-sendiri.

Shuhaimi 1“Penduduk juga perlu tingkatkan kebersihan di sekeliling rumah kerana kerana kalau pesakit digigit nyamuk aedes ia boleh merebak dan mungkin lebih ramai dijangkiti,” katanya ketika sidang media selepas Program Gotong-Royong Kebersihan Ad-Hoc, di sini, semalam.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Penduduk Ambang Botanic, Alex Lum berkata, penduduk kembali tenang selepas kerjasama daripada Kerajaan Negeri dan PBT dalam mengambil tindakan segera memastikan kawasan itu selamat daripada acaman virus Zika.

“Sebelum ini, penduduk agak panik jika virus terus merebak kepada ahli keluarga masing-masing kerana ia berlaku di kawasan ini.

“Namun, selepas Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Awli bersama Pegawai Kesihatan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) hadir memberi penerangan dan menjalankan operasi kawalan, mereka rasa sedikit lega,” katanya.

Katanya, Persatuan Penduduk sekitar Ambang Botanic juga akan mengadakan satu perbincangan bersama presiden persatuan bagi melaksanakan program gotong-royong dan edaran risalah kesedaran secara besar-besaran kepada lebih 4000 penduduk di situ.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tiga ahli keluarga mangsa pertama Zika disahkan negatif

OLEH SYASYA SUFIAN

KLANG, 4 SEP: Tiga ahli keluarga mangsa jangkitan Zika minggu lalu disahkan negatif daripada virus berkenaan selepas membuat ujian darah, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Majlis Perbandaran Klang (MPK), Azmi Muji berkata, tiga individu berkenaan dari Bandar Botanic Klang adalah suami, anak lelaki dan kakak kepada wanita berusia 58 tahun itu.

WhatsApp Image 2016-09-04 at 9.51.17 AM (1)“Keputusan diterima selepas ujian darah diambil pejabat kesihatan daerah bagi memastikan ahli keluarga lain selamat daripada virus tersebut.

“Mangsa yang kini sedang menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh dilaporkan dalam keadaan stabil dan beransur pulih,” katanya pada sidang media selepas Program Gotong Royong di sini, semalam.

Azmi berkata, tindakan susulan akan dijalan dengan membuat pemeriksaan ke atas rakan mangsa yang pernah dilawati dan tempat dikunjungi beliau selepas pulang dari Singapura.

Pada 2 September lalu, Malaysia digemparkan dengan laporan satu kes jangkitan virus Zika tempatan pertama oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Mangsa wanita itu disahkan positif dijangkiti virus berkenaan seminggu selepas melawat anaknya yang juga mangsa Zika di Singapura.

-NFN-