Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Virus Zika: Sekolah di Selangor diarah batal rombongan ke Singapura, Filipina

SHAH ALAM 10 SEPT: Jabatan Pendidikan Negeri Selangor mengarahkan semua rombongan sekolah ke Singapura dan Filipina dibatalkan berikutan penularan virus Zika.

Pengarahnya Mohd Salleh Mohd Kassim berkata arahan berkenaan dikeluarkan kepada semua ketua Pejabat Pendidikan Daerah.

“Arahan pembatalan ini adalah untuk rombongan yang akan ke sana semasa tempoh cuti sekolah ini dan dalam masa terdekat.

“Bagi rombongan yang akan ke kedua-dua negara berkenaan pada hujung atau awal tahun ini dinasihatkan menangguhkan program berkenaan sehingga virus ini dapat dikawal atau dibasmi,” katanya dipetik BERNAMA.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah yang diambil Jabatan Pendidikan Negeri bagi mengekang penularan virus Zika di sekolah.

Salleh berkata pihaknya juga mengarahkan sekolah dicuci sepenuhnya sebelum sesi persekolahan bermula pada 19 September nanti.

Katanya, cuti sekolah seminggu yang bakal bermula Isnin ini memberi masa yang cukup untuk nyamuk membiak.

Sehingga hari ini, terdapat tiga kes jangkitan virus Zika direkodkan di seluruh negara.

Kes pertama yang dilaporkan merupakan kes import dari Singapura melibatkan seorang wanita berumur 58 tahun dari Klang manakala kes kedua ialah jangkitan tempatan di Sabah dan kes ketiga melibatkan wanita mengandung di Johor Bahru.

EZY