Categories
NASIONAL

Bajet 2017: MTUC harap kesaksamaan, tuntut had pengambilan pekerja asing 20%

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 OKT: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menuntut kerajaan menghadkan pengambilan pekerja asing kepada 20 peratus di setiap tempat kerja.

Pemangku Presidennya, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, perkara itu sebahagian daripada tuntutan 13 perkara MTUC kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini menjelang pembentangan Belanjawan 2017 pada 21 Oktober ini.

Katanya, MTUC yang mewakili kaum pekerja kebanyakannya daripada sektor swasta amat mengharapkan Bajet 2017 memberi kesaksamaan dan kesejahteraan kepada semua rakyat.

“Isu pengambilan pekerja asing yang ramai berbanding pengambilan pekerja tempatan antara isu yang berlarutan sejak tahun lepas.

“Majikan beralasan pekerja tempatan tidak mahu melakukan kerja yang kotor, sukar dan bahaya, namun pengkritik menjawab gaji yang dibayar tidak setimpal,” katanya.

abdullah saniAbdullah berkata dalam tuntutan itu juga, MTUC menggesa kerajaan mengenakan cukai yang lebih tinggi kepada syarikat yang bergantung kepada pekerja asing.

Pada masa yang sama, MTUC mahu skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) diperluaskan kepada semua pekerja asing kerana pada masa ini mereka tiada sebarang perlindungan.

Katanya, Insentif khas juga harus diberikan kepada majikan yang menggajikan pekerja tempatan disamping pelepasan cukai bagi syarikat yang memberi elaun khas dan bonus untuk pekerja.

Antara tuntutan lain adalah meningkatkan sumbangan caruman KWSP, kadar premium 0.25% untuk skim insurans pekerjaan yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi, gaji minimum RM1,500 untuk semua sektor dan pelepasan cukai perseorangan daripada RM9,000 kepada RM12,000.

Beliau memaklumkan MTUC gagal mendapatkan respon Najib berhubung beberapa memorandum yang dihantar sebelum ini dan cadangan untuk berjumpa membincangkan penyelesaian isu pekerja.

-nR-