Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Berhenti lama di RnR, pengguna dakwa didenda

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 OKT: Seorang lelaki mendakwa dikenakan bayaran tambahan oleh PLUS Malaysia Berhad (PMB) kerana berada di hentian rawat dan rehat (RnR) terlalu lama.

Dalam satu posting di Facebook, Damar Wulan berkata, beliau masuk ke lebuh raya PLUS melalui Gurun dan berhenti seketika di RnR Gurun untuk tidur kerana keletihan selepas menghantar rakannya.

Namun, katanya, selepas menyambung perjalanan pulang dan tiba di Tol Pendang, beliau dikehendaki membayar RM9.40 (RM6.40 denda).

“Saya didenda RM6.40 sedangkan bayaran tol RM3.00 sahaja tetapi dicaj sehingga RM9.40.

“Bagaimana caj tambahan dikenakan kerana duduk di RnR melebihi 1 jam 50 minit. Gila ke apa ini? Tidak boleh duduk lama di RnR?” tulisnya.

Damar kemudian mempersoalkan tindakan itu, namun PLUS memberi alasan ‘penalti’ dikenakan ekoran mengesyaki penipuan mungkin dilakukan pengguna lebuh raya jika duduk lama di RnR.

Tidak berpuas hati, beliau menghubungi PLUS melalui talian khidmat pengguna, namun tetap gagal mendapat jawapan jelas.

1-1“Saya maklumkan kepada mereka bahawa saya letih dan tidur seketika di RnR, namun penyelia tol berkenaan menyatakan tidur tidak diiktiraf di atas lebuh raya PLUS kerana di situ tiada hotel.

“Malahan, pengguna kena akur dengan sistem dibuat,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan PLUS yang tidak meletakkan papan tanda jika benar peraturan terbabit dilaksanakan.

Terdahulu, PLUS pernah mengeluarkan kenyataan memaklumkan pihaknya akan mengambil tindakan denda terhadap pengguna yang menggunakan lebuh raya bagi tempoh terlalu lama atau tidak munasabah.

Bagaimanapun, pada 16 Mac 2005, Menteri Kerja Raya pada ketika itu, Datuk Seri S. Samy Vellu melarang PLUS melaksanakan tindakan itu sehingga pindaan undang-undang dilakukan.

-AA-