Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

HIJRAH bakal diperluaskan kepada 6 golongan sasar

OLEH NORHAYATI UMOR

SABAK BERNAM, 22 OKT: Program Hijrah Selangor (HIJRAH) dijangka akan memperluaskan manfaat kepada enam kumpulan sasar baru, mulai tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Mansor Othman berkata, enam kumpulan dikenal pasti itu antaranya ibu tunggal, asnaf, belia, pelajar, bekas tentera dan wanita ladang.

Katanya, program khusus akan dirangka untuk kumpulan terbabit menerima manfaat melalui skim HIJRAH.

“Kita mahu mereka ini diberi anjakan lebih tinggi bersama Kerajaan Negeri.

“Program terbaik itu akan dibincangkan dan akan diberitahu kelak,” katanya kepada SelangorKini selepas Perasmian Program Hijrah Tour 2016 (HIT’16) di Sungai Panjang, di sini.

Hadir sama, Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari.

Mansor berkata, setakat ini, hampir 30,000 peserta menerima bantuan modal daripada HIJRAH dengan pembiayaan RM144 juta.

MANSOR OTHMANSementara itu, Amirudin berkata, usahawan HIJRAH perlu menggunakan peluang sedia ada untuk memasarkan produk ke luar negara.

Katanya, aliran internet tanpa sempadan ketika ini juga seharusnya dimanfaat sebaiknya golongan usahawan.

“Kita akan membantu peniaga ini ke peringkat lebih tinggi, justeru ilmu pengetahuan harus dititik beratkan.

“Jika dulu modal adalah penting, namun sekarang ilmu pengetahuan menjadi lebih penting untuk usahawan pergi lebih jauh,” katanya.

Program bersama Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) itu diyakini mampu melahirkan masyarakat dan peniaga berilmu di negeri itu.

Julung kali diadakan, program itu adalah gabungan pintar bersama semua agensi selaras pembangunan ‘smart state’ yang diilhamkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

-AA-