Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Teraju pendidikan pertanian, lonjak UPM kedudukan tertinggi Asia Tenggara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SERDANG, 22 OKT: Universiti Putra Malaysia (UPM) kukuh menerajui bidang pertanian pendidikan di Asia Tenggara atas kejayaan penghasilan produk penyelidikan dan inovatif dalam bidang Sains Pertanian.

Kejayaan manis itu diiktiraf Thompson Reuters menerusi pengiktirafan di kedudukan pertama di Malaysia dan Asia Tenggara dalam senarai Best Global University Ranking For Agricultural Sciences yang diterbitkan US News and World Report.

Menyambut baik pengiktirafan itu, Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar inisiatif diperingkat universiti terus diluaskan di peringkat pengajian pendidikannya.
“Beta gembira atas usaha dan kesungguhan inisiatif dirancang UPM bukan sahaja sebagai menerajui bidang pertanian dan sekuriti makanan, tetapi juga menerajui lonjakan pendidikan tinggi negara.

_mg_0279-1024x683“Tahniah dan syabas Beta ucapkan kepada semua warga universiti,” titah baginda Sultan pada Istiadat Konvokesyen UPM ke-40 di sini, pagi ini.

Sebelum ini, UPM mencapai tahap kedudukan ranking terbaik apabila berada di kedudukan ke-270 universiti terbaik dunia yang dikeluarkan QS World University Ranking 2016.

Kedudukan itu sekali gus meletakkan UPM sebagai sebuah universiti yang mengalami peningkatan lonjakan paling tinggi antara Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia.

Di peringkat Asia, UPM berada dalam kelompok 50 universiti terbaik, berbanding kedudukan 66 tahun lalu dengan peningkatan sebanyak 17 anak tangga.

Dalam konteks ranking mengikut disiplin pertanian dan perhutanan, UPM kekal tersenarai kelompok 51 hingga 100 terbaik dunia untuk tempoh tiga tahun berturut-turut.

Selain itu, antara pencapaian tertinggi UPM termasuklah memenangi kategori Organisasi Pengurusan Harta Intelek Terbaik pada Anugerah Harta Intelek Negara 2016.

EZY