Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kilang haram punca pencemaran air disita

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SEMENYIH, 4 OKT : Sebuah kilang menjalankan operasi secara haram disita Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) selepas didapati menjadi punca berlakunya pencemaran bau air, di sini.

Yang Dipertua MPKj, Mohd Sayuthi Bakar, berkata kompaun dan saman dikeluarkan kepada pemilik kilang serta merta selain barang-barang operasi turut disita untuk dihapuskan.

“Sitaan dan rampasan dibuat supaya syarikat tanpa lesen ini tidak lagi menjalankan operasi dan kawasan ini juga ditutup di bawah bidang kuasa pihak majlis.

“Bagaimanapun untuk proses penghapusan barang rampasan, pihak JAS akan menguruskannya untuk dihapuskan dengan cara betul.

“Kami juga mengeluarkan saman sebelum dibawa ke muka pengadilan untuk tindakan lanjut,” katanya kepada SelangorKini.

img-20161004-wa0005Beliau berkata demikian di tapak lokasi selepas mengadakan serbuan bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Tanah Daerah (PTD), Air Selangor di sini, pagi ini.

Ketika serbuan dibuat, pemilik kilang dan pekerja tiada di premis lokasi kerana dipercayai melarikan diri bagi mengelakkan daripada ditahan pihak berkuasa.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turun padang melihat perkembangan tersebut selepas siasatan dan pemantauan dibuat pihak berwajib sejak jam 1 pagi semalam.

Dalam perkembangan itu, Mohamed Azmin turut mengarahkan operasi kilang tersebut dihentikan serta merta bagi memastikan operasi air tidak terjejas.

“Kerajaan Negeri tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana individu atau syarikat yang sabotaj atau mencemarkan air sungai,” katanya di Twitter.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri menutup loji operasi air di Semenyih selepas berlakunya pencemaran bau air yang menjejaskan masyarakat sekitar Semenyih.

Bagaimanapun, masalah tersebut berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 48 jam atas komitmen dan inisiatif agensi Kerajaan Negeri menyelesaikan masalah itu.

EZY