Categories
NASIONAL

Muhyiddin: Johor dulu ‘blue state’ kini jadi ‘blur state’

OLEH NAZLI IBRAHIM

MUAR, 8 OKT: Gelaran ‘blue state’ bagi Johor ekoran dianggap sebagai kubu kuat Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak lagi relevan, kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kata beliau, sebaliknya Johor kini sudah bertukar kepada ‘blur state’ apabila buat kali pertama dalam sejarah politik negara BN Johor yang ditunjangi Umno kehilangan majoriti dua pertiga.

“Sekarang di peringkat Negeri Johor yang dikatakan ‘negeri biru’ dengan Tun Mahathir juga gunakan istilah negeri biru atau ‘the blue state’ tetapi sekarang yang ‘blue’ dah ‘blur’.

“Faham tak ‘blur’? Kabur dah. Tak jadi biru lagi sebab dah ada 18 (kini 19) kerusi Dewan Negeri yang sudah jatuh ke pihak kita walaupun saya tidak ada di situ tetapi dengan 14 DAP dan selebihnya parti-parti lain,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata demikian pada program ceramah Bicara Rakyat Bersatu di Sungai Terap, Pagoh di sini, malam tadi.

Katanya, keadaan ini menyebabkan jumlah kerusi Dewan Negeri Johor tidak boleh ditambah dalam persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ketika menyentuh sokongan yang diterima parti Bersatu yang baru sahaja diluluskan pendaftaranya itu, Muhyiddin memberitahu majoriti yang menyerahkan borang keahlian adalah ahli dan pemimpin Umno sendiri.

Katanya, sambutan terhadap partinya lebih bermakna apabila Pagoh yang merupakan bahagian pertama parti yang didaftarkan sudah menerima hampir 3,000 borang keahlian baru.

“Orang Umno Pagoh jangan tunggu sampai negara rosak semakin teruk, bertindak sekarang sertai perjuangan Bersatu,” katanya.

EZY