Categories
SELANGOR

Salah guna dewan, roboh jika BN degil

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 7 OKT: Dewan orang ramai yang dikuasai Barisan Nasional (BN) secara haram di negeri ini bakal diambil semula dalam tempoh terdekat, kata Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah.

Beliau berkata, Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) memutuskan penguasaan parti komponen pembangkang itu adalah menyalahi undang-undang dengan tiada sebarang kelulusan.

Katanya, dewan orang ramai yang didirikan di atas tanah Kerajaan Negeri sepatutnya digunakan untuk kegunaan awam dan bukan kepentingan parti politik.

“MTES sudah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) untuk segera mengambil semula bangunan yang digunakan secara haram.

“Kita akan pastikan bangunan ini digunakan untuk kegunaan awam dan bukan aktiviti parti politik seperti BN lakukan sekarang,” katanya kepada SelangorKini.

img_20161007_153822_009Pada 5 Ogos lalu, Ean Yong menerjah dewan serbaguna di Kampung Dato’ Lee Kim Sai di Rawang yang dikuasai MCA.

Selain itu, terdapat lapan dewan lain yang dikenal pasti diduduki secara haram di daerah Gombak, antaranya Dewan MCA Desa Kuala Garing, Dewan MIC Kuala Garing, Dewan MCA Bukit Rawang Jaya, Dewan MCA Bandar Country Homes, Dewan MCA Taman Sri Hijau, Dewan Perpustakaan Kampung Sungai Terentang dan Dewan Umno Bandar Country Homes.

Ean Yong berkata, tindakan lebih tegas terpaksa diambil jika BN masih enggan bekerjasama.

“Jika mereka tidak mahu keluar, kita akan merobohkan bangunan berkenaan dan membina yang baru,” katanya.

-AA-