Categories
SELANGOR

Sokongan masyarakat India kepada Kerajaan Negeri kekal

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 17 OKT: Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa yakin sokongan pengundi India di Parlimen Subang khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras kekal pada tahap 70 peratus pada pilihan raya umum akan datang.

sivarasaUjar beliau, keyakinannya itu berdasarkan maklum balas yang diterima daripada masyarakat akar umbi kaum itu dalam pelbagai aspek seperti culaan rambang dan sambutan terhadap program yang diadakan Kerajaan Negeri.

“Saya percaya 70 peratus sokongan kaum India yang kita terima pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu akan kekal, malahan tidak mustahil akan bertambah khususnya bagi pengundi bagi DUN Paya Jaras ini,” katanya kepada SelangorKini pada Program Jom Shopping Perayaan Deepavali DUN Paya Jaras di kawasan letak kenderaan Econsave di sini, pada 15 Oktober lalu.

Katanya, ketika ini sokongan masyarakat India terhadap program di DUN dalam Parlimen Subang meningkat berbanding sebelum PRU-13 lalu disebabkan wujudnya imej sebuah kerajaan yang boleh dipercayai yang ada pada Kerajaan Negeri hari ini di mata masyarakat kaum itu.

“Sebelum PRU-13, memang kita berjaya perolehi sokongan tinggi tetapi dapat lihat sambutan selepas itu meningkat dengan agak ketara,” katanya.

Katanya, sokongan yang diterima itu diperoleh apabila timbul kesedaran kaum India terhadap usaha gigih Kerajaan Negeri membela nasib kaum terbabit di Selangor.

-NFN-