Categories
AGENDA NASIONAL

Thaipusam: SOP sambutan cadangan pengurusan kuil, nilai ancaman Omicron

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Kesemua senarai prosedur operasi standard (SOP) sambutan Thaipusam dibuat berdasarkan cadangan pihak pengurusan kuil serta penilaian risiko kesihatan dan pencegahan penularan COVID-19 termasuk ancaman varian Omicron.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata semua cadangan dan permintaan tersebut dibentangkan kepada kementerian itu menerusi sesi libat urus bersama pengerusi dan pengurusan kuil di beberapa negeri.

Jelasnya, semua cadangan tersebut seterusnya dibawa kepada Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 untuk pertimbangan dan kelulusan berdasarkan keperluan menjaga keselamatan serta kesihatan daripada jangkitan pandemik itu.

“Kementerian membawa cadangan dan permintaan mereka ke jawatankuasa Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 untuk dipertimbangkan dari segi keselamatan dan kesihatan rakyat serta penganut…maka terhasil SOP ini.

“Namun, ada pihak yang tidak hadir ketika sesi libat urus itu mengeluarkan kenyataan mendakwa saya telah berjanji macam-macam untuk SOP, sedangkan pengerusi kuil sudah senaraikan cadangan dan permintaan untuk perayaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau persiapan sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves hari ini.

Semalam, Halimah mengumumkan SOP sambutan perayaan itu yang antaranya menetapkan hanya upacara ‘paal koodam’ atau menjunjung belanga mengandungi susu, aktiviti sembahyang serta perjalanan pedati, dibenarkan pada Thaipusam kali ini.

Upacara ‘paal koodam’ dibenarkan bermula Jumaat ini (14 Jan) hingga 19 Jan dengan penetapan jumlah kehadiran yang berbeza mengikut kuil, manakala acara ‘kavadi’ serta gerai sementara tidak dibenarkan.

Upacara sembahyang secara bersesi serta perjalanan dan pergerakan kereta pedati pula dibenarkan mengikut SOP ditetapkan.

Terdapat 12 sesi sembahyang pada 16 hingga 17 Jan, serta 19 Jan bermula 5 pagi hingga 5 petang, manakala 18 sesi ditetapkan bagi 18 Jan bermula 5 pagi hingga 11 malam, dengan jumlah kehadiran mengikut kuil masing-masing dan perlu disanitasi selepas tamat setiap sesi.

Susulan pengumuman itu, timbul dakwaan mengatakan kementerian berkenaan tidak ‘mendengar’ permintaan daripada penganut Hindu yang menyambut perayaan itu.

Mengenai SOP di Batu Caves yang menempatkan kuil terbesar di negara ini, Halimah berkata pihak pengurusan kuil akan menyediakan ‘tag’ bernombor bagi memastikan jumlah kehadiran 6,000 penganut setiap hari dan 500 orang setiap sesi sembahyang dapat dipatuhi.

— BERNAMA

 

 

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Komuniti India di Ampang terima hamper sempena Deepavali

SHAH ALAM, 25 OKT: Sejumlah keluarga berbangsa India di Jalan Ikan Emas, Ampang Campuran, Ampang menerima hadiah hamper sempena sambutan Deepavali awal bulan depan.

Penyelaras Parlimen Ampang Rodziah Ismail berkata hamper yang diberi berupa tepung muruku dan tepung kuih tradisional India yang lain.

“Yang menggembirakan saya, senyuman para penerima yang begitu gembira walaupun hamper yang diberikan tidaklah begitu lumayan atau mahal harganya.

“Namun senyuman mereka itu lebih mahal dari harga hadiah yang diberi oleh kami,” katanya menerusi Facebook.

Lawatan melawat rumah ke rumah itu disertai Ahli Majlis Zon 11 A Ragunathan bersama jawatankuasa penduduk (JKP) Zon 11.

Rodziah turut berharap program seumpama itu diteruskan pada setiap perayaan budaya di negara ini agar jurang perbezaan budaya kaum dapat didekatkan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes di India menurun tapi cetus varian lebih serius Delta Plus

NEW DELHI, 23 JUN: Jumlah kes Covid-19 di India melebihi 30 juta pada Rabu selepas 50,848 lagi jangkitan baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam.

Jumlah kematian baharu pula 1,358, menjadikan jumlah terkumpul setakat ini seramai 390,660, menurut data Kementerian Kesihatan.

Walaupun India menyaksikan penurunan kes dalam beberapa hari lalu, timbul kebimbangan berikutan kemunculan varian Delta Plus.

Kerajaan persekutuan mengeluarkan amaran di negeri Maharashtra, Kerala dan Madhya Pradesh selepas banyak kes dikesan membabitkan varian baharu itu.

Dikenali varian membimbangkan, kerajaan meminta semua negeri untuk segera mengambil langkah pencegahan, meningkatkan saringan, pengesanan dan vaksinasi di daerah yang terjejas.

Delta Plus ialah strain mutan baharu dari varian Delta yang pertama kali dikesan di India dan mudah merebak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rakyat disaran ambil iktibar tsunami Covid-19 di India

PUTRAJAYA, 8 MEI: Rakyat negara ini disaran menjadikan tsunami Covid-19 di India sebagai pengajaran, dan tidak mengambil mudah dengan aspek pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) pencegahan Covid-19 yang ditetapkan kerajaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, situasi yang berlaku di India ketika ini berikutan keputusan kerajaan negara tersebut pada 7 Mac lepas yang melonggarkan sekatan pergerakan rakyatnya selepas berjaya mengawal jangkitan wabak itu.

“Berikutan pengumuman itu, ramai rakyat India sudah tidak mematuhi SOP, apabila kelonggaran diberikan. Perhimpunan berlaku di pantai, di upacara keagamaan dan majlis perkahwinan.

“Selain itu, India juga mengadakan lima pilihan raya negeri. Mereka mengadakan kempen melibatkan 200,000 individu dengan tiada pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal, maka jangkitan berlaku,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 hari ini.

Jumlah keseluruhan kes di India ketika ini adalah 21.49 juta dengan 1.57 juta kes baharu dicatatkan dalam tempoh seminggu.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menjelaskan betapa pentingnya negara mewartakan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 pada Januari lepas, yang memperuntukkan sebarang pilihan raya tidak perlu diadakan sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.

Kata Dr Noor Hisham, dengan adanya Ordinan Darurat, sebanyak tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak diadakan iaitu PRK Batu Sapi, Bugaya dan Gerik, selain Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN).

“Kalau PRK dan PRN Sarawak diadakan, sudah tentu akan ada perhimpunan bertujuan mengadakan kempen. Maka inilah rasionalnya kenapa kerajaan mewartakan Ordinan Darurat,” katanya.

Mengandaikan sekiranya PRN Sarawak diadakan, beliau melahirkan kebimbangan berlakunya penularan kes baharu Covid-19 di kawasan pedalaman, yang akan mendatangkan masalah logistik bagi petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kita (KKM) tidak mampu untuk sampai ke kawasan pedalaman yang jauh,” katanya.

Di bawah Ordinan Darurat, Pilihan Raya Umum (PRU), PRN dan PRK tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Lebih 400,000 kes wabak sehari, India catat rekod baharu dunia

NEW DELHI, 6 MEI: India mencatat rekod global baharu pada Khamis selepas melaporkan kes jangkitan Covid-19 sebanyak 412,262 dalam tempoh sehari, lapor Agensi Anadolu.

Menurut Kementerian Kesihatan jumlah keseluruhan kes setakat ini melebihi 21 juta manakala 3,980 lagi kematian dilaporkan menjadikan keseluruhan mencecah 230,168 orang.

Ini kali kedua kes harian melebihi 400,000. Sabtu lalu, India mencatatkan 401,993 jangkitan harian.

Seorang saintis terkemuka India pada Rabu memberi amaran bahawa gelombang ketiga adalah sesuatu yang “tidak dapat dielakkan”.

Perdana Menteri Narendra Modi, yang berdepan kritikan kerana didakwa gagal menguruskan gelombang kedua, telah mengumumkan lebih banyak langkah untuk menangani situasi tersebut.

Ketika lonjakan jumlah kes yang mendadak, terdapat banyak permintaan untuk sekatan pergerakan di seluruh negara diambil untuk menghentikan penularan.

“Tidak ada pilihan lain selain mengenakan sekatan pergerakan secara menyeluruh untuk memutuskan rantaian jangkitan.

“Benar, sekatan pergerakan akan menjurus kepada lebih banyak kesulitan ekonomi, tetapi kita tiada pillihan. Dengan kes yang semakin meningkat, menunjukkan kita tidak bersedia menghadapi lonjakan kali ini,” kata ahli pulmonologi Dr Digambar Behera.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Indonesia kesan varian Covid-19 India dan Afrika Selatan

JAKARTA, 5 MEI: Varian Covid-19 India dan varian B1351 Afrika Selatan kini dikesan di Indonesia.

Terdapat dua kes di Jakarta melibatkan varian yang pertama kali dikesan di India sementara satu kes melibatkan varian Afrika Selatan dilaporkan di Bali, kata Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin.

“Kita mesti mengekang penularan virus. Virus ini mudah berjangkit dengan cepat,” katanya semasa sidang media yang disiarkan secara langsung di televisyen tempatan di sini semalam.

Setakat ini, Indonesia juga telah mengesan 13 kes varian B117 dari United Kingdom (UK).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenal pasti B117 dan B1351 sebagai varian yang membimbangkan. Varian India, dikenali B1617, menjadi perhatian memandangkan negara ini sedang diancam lonjakan kes tertinggi dunia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sekatan sementara penerbangan keluar masuk India mulai Rabu

KUALA LUMPUR, 26 APRIL: Kerajaan hari ini bersetuju untuk melaksanakan sekatan sementara penerbangan keluar masuk dari India ke negara ini bermula 28 April bagi mencegah kemasukan varian baharu COVID-19 dari negara terbabit.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pengembara yang memulakan perjalanan dari mana-mana destinasi di India sama ada menaiki penerbangan secara terus atau transit untuk ke Malaysia adalah dilarang memasuki negara ini.

“Larangan ini turut terpakai bagi penumpang yang transit di Malaysia untuk ke negara ketiga, bagaimanapun pengecualian hanya akan diberikan kepada warganegara Malaysia sahaja.

“Kapal yang mempunyai sejarah perjalanan dari India dalam tempoh 14 hari tidak dibenarkan prosedur signoff di Malaysia kecuali kru warganegara Malaysia yang wajib menjalani perintah kuarantin 14 hari,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata sekatan sementara juga dilakukan terhadap pekerja asing dari negara itu yang memegang pas lawatan kerja sementara (PLKS) masih sah laku, serta penuntut antarabangsa warganegara India dan pelawat perniagaan antarabangsa.

Ismail Sabri berkata warga Malaysia termasuk pelajar dan pekerja serta pasangan dan anak kepada warganegara Malaysia yang tinggal di India, serta kumpulan keagamaan yang berada di negara itu dibenarkan memasuki Malaysia dengan tatacara kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin yang diwartakan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Thailand catat angka korban Covid-19 harian tertinggi

BANGKOK, 25 APRIL: Thailand mencatat 2,438 kes baharu Covid-19 dengan 11 kematian, yang merupakan angka kematian harian tertinggi, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara itu setakat ini ialah 55,460 kes dengan 140 kematian semasa pihak berkuasa mengenakan lebih banyak sekatan bagi mengekang penularan pandemik itu.

Ini merupakan hari ketiga berturut-turut Thailand merekodkan kes harian Covid-19 melebihi angka 2,000 meskipun pihak berkuasa sedang meningkatkan usaha bagi menangani penularan terburuk pandemik itu di negara tersebut setakat ini.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 2,151 adalah jangkitan tempatan termasuk 282 yang dikenal pasti melalui pengesanan aktif manakala lima merupakan kes import.

Beliau berkata terdapat 24,207 orang masih dirawat di hospital termasuk 19,274 di hospital biasa dan 4,933 di hospital medan dengan 510 orang berada dalam keadaan serius manakala 142 memerlukan bantuan pernafasan.

“Gelombang ketiga telah merekodkan sejumlah 26,597 kes dengan 46 kematian sejak 1 April,” katanya semasa taklimat harian Covid-19 hari ini.

Beliau berkata kematian baharu membabitkan mangsa berusia lingkungan 27 hingga 70 tahun termasuk seorang wanita berumur 32 tahun yang sedang hamil 25 minggu dari Bangkok.

Taweesin juga berkata Thailand akan memperlahankan pengeluaran dokumen perjalanan untuk rakyat asing yang melakukan perjalanan dari India susulan varian baharu B.1.617 yang pertama kali dikesan di negara itu (India) pada Oktober.

Bagaimanapun, beliau berkata 131 rakyat Thailand di India yang telah mendaftar untuk melakukan perjalanan ke Thailand pada Mei akan dibenar memasuki negara itu.

Bagi mengekang penularan Covid-19 di ibu negara Thailand, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) telah mengarahkan penutupan venue awam dan premis sukan untuk tempoh sekurang-kurangnya dua minggu berkuat kuasa dari Isnin hingga 9 Mei depan.

Jurucakap BMA Pongsakorn Kwanmuang berkata sejumlah 31 venue dan perniagaan termasuk pusat spa, gimnasium, kolam renang, pusat jagaan kanak-kanak, pawagam, taman awam, zoo, muzium, perpustakaan, taman hiburan, klinik kecantikan dan padang sukan akan ditutup.

Katanya semua aktiviti sosial dan keagamaan, penerbitan filem, serta perhimpunan yang menyaksikan lebih 20 peserta turut dilarang.

Selain itu, semua institusi pendidikan dan kelab malam akan kekal ditutup sehingga bulan depan manakala penjualan alkohol di restoran turut dilarang.

Bangkok dan sekurang-kurangnya 40 wilayah di negara itu mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam.

Sehingga kini, Thailand belum mengenakan perintah kawalan pergerakan atau perintah berkurung susulan penularan terkini di negara itu. Bagaimanapun, sesetengah gabenor wilayah menetapkan sekatan mereka sendiri.

Pada Sabtu, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha telah membenarkan gabenor wilayah mempertimbang langkah mengenakan perintah berkurung di sesetengah kawasan dan menutup premis sebagai tambahan kepada arahan penutupan oleh kerajaan.

“Jika pandemik semakin memburuk, tempoh kuarantin 14 hari bagi pesakit tidak bergejala yang dirawat di hospital mungkin dikurangkan kepada 10 hari bagi membolehkan mereka menjalani kuarantin kendiri di rumah dengan sistem pengesanan,” menurutnya dalam tulisan di laman Facebook seperti yang dipetik oleh Bangkok Post.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Bursa Malaysia meningkat semula pada Khamis, mencerminkan pemulihan semalaman pasaran Amerika Syarikat (AS).

Semua indeks dan indeks sektoral berada dalam keadaan positif dengan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.8 mata kepada 1,600.38 setakat 9.05 pagi.

Saham pandu pasaran dibuka 3.31 mata lebih tinggi kepada 1,599.89.

Keseluruhan suasana pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 266 kepada 156, manakala 329 kaunter tidak berubah, 1,435 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah 386.22 juta saham bernilai RM156.58 juta.

Malacca Securities menjangka bursa tempatan mungkin mencatatkan sedikit kenaikan semula, menjejaki peningkatan semalaman di Wall Street.

Bursa tempatan mungkin mengambil petunjuk daripada kenaikan semalaman Nasdaq dan meletakkan sektor teknologi itu pada radar, katanya dalam satu nota.

Pada Rabu, saham AS pulih daripada penyusutan pada sesi sebelumnya berikutan Dow meningkat dengan tumpuan pelabur beralih kepada kemajuan pemulihan ekonomi di tengah-tengah pengeluaran pendapatan korporat yang ketara.

Dow naik 0.93 mata kepada 34,137.31, Nasdaq meningkat 1.19 peratus untuk ditutup kepada 13,950.22 dan S&P 500 naik 0.93 peratus untuk ditutup kepada 4,173.42. Selain itu, bursa Asia ditutup rendah semalam.

Di peringkat tempatan, Malacca Securities yakin kaunter perladangan mungkin menyaksikan sedikit peningkatan susulan harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih kukuh.

Harga MSM terus berlegar menghampiri paras RM4,000, namun impak positif masih belum dicerminkan di kaunter perladangan.

Bagaimanapun, kaunter sarung tangan mungkin menurun akibat kebimbangan terhadap harga jualan purata sarung tangan berikutan program vaksinasi Covid-19 yang sedang dilaksanakan dan kelemahan harga minyak yang dijangka mengehadkan kenaikan itu.

Harga minyak merosot ketara pada Rabu susulan kebimbangan mengenai unjuran permintaan tenaga selepas peningkatan inventori minyak mentah AS yang tidak dijangka dan lonjakan penularan Covid-19 di India.

Di peringkat tempatan, kebanyakan kaunter wajaran tinggi adalah rendah dengan hanya empat kaunter terutamanya saham sarung tangan yang berada dalam keadaan negatif.

Petronas Chemicals naik enam sen kepada RM7.85, manakala Axiata dan Sime Darby Plantation masing-masing menokok tiga sen kepada RM3.84 dan RM4.46.

PPB Group meningkat 18 sen kepada RM18.68 dan CIMB menambah dua sen kepada RM4.24.

Press Metal dan Digi susut satu sen kepada RM5.24 dan RM4.19, manakala Hartalega dan Supermax berkurangan dua sen kepada RM10.10 dan RM5.52.

Dalam kalangan saham aktif, Techhna-X dan Key Asic masing-masing meningkat dua sen kepada 15 sen dan 23 sen.

Ucrest meningkat 1.5 sen kepada 50 sen dan Dynaciate rendah setengah sen kepada 11 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 34.91 mata kepada 11,790.03, FBMT 100 naik 32.23 mata kepada 11,443.00, manakala FBM 70 meningkat 63.42 mata kepada 15,573.87.

FBM Emas Shariah naik 45.08 mata kepada 13,197.67 dan FBM ACE tinggi 59.18 mata kepada 8,585.26.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan 24.11 mata lebih tinggi kepada 6,84214, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 17.79 mata kepada 15,029.21, dan Indeks Produk dan Perindustrian meningkat 0.61 mata kepada 195.37.

– BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA BUDAYA RENCANA

Pengaruh masyarakat India dalam kehidupan

Resapan tradisi

SEDAR atau tidak, kehidupan masyarakat Melayu di negara ini banyak berasimilasi dengan budaya lain hingga bersebati dengan utuh.

Dari adat, fesyen, makanan mahupun bahasa, pengaruh masyarakat India banyak menyerap dalam kehidupan harian masyarakat Melayu.

Adat melenggang perut yang masih popular di kampung misalnya banyak persamaan dengan Valaikappu, sebuah amalan penganut Hindu, meskipun ritualnya tidak sepenuhnya sama.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Yusmilayati Yunos berkata tujuannya sama iaitu supaya si ibu selamat melahirkan bayi yang sihat dan membuang nasib tidak baik.

Seperti Valaikappu, upacara melenggang perut turut membabitkan penggunaan beras, sirih pinang dan kelapa. Kedua-duanya mengadakan jamuan untuk tetamu.

Ada banyak lagi adat Melayu yang mirip amalan masyarakat India termasuk belah mulut yang juga disebut tahnik dalam kalangan masyarakat Melayu.

Berinai dan mandi bunga yang lazim dalam kalangan orang Melayu. Malah, bersanding, tepung tawar mahupun konsep raja sehari dalam perkahwinan dikatakan berasal dari tradisi India.

“Dipercayai inilah asal usul pasangan pengantin Melayu digelar raja sehari berikutan konsep Dewa Rama dan Dewi Sita,” katanya merujuk watak raja dan permaisuri yang menduduki takhta (pelamin) Kerajaan Ayutthaya mengikut Ramayana, kitab kepercayaan penganut Hindu sejak ribuan tahun.

Selain itu, banyak masakan masyarakat Melayu menggunakan sebahagian bahan dan resipi orang India. Paling popular, masakan kari, roti canai, tose atau capati dan kuah dal. Maruku juga sering jadi juadah Aidilfitri.

Pakaian tradisional masyarakat India juga semakin popular dalam kalangan wanita Melayu. Kain sari yang lazim dipakai orang India dijadikan baju kurung atau kebaya. Ia dipakai baik dalam majlis istimewa atau ke pejabat.

Bagi lelaki Melayu, kurta yang sinonim dengan orang India semakin diterima untuk digayakan pada hari raya dengan sedikit pengubahsuaian selari peredaran fesyen terutama kalangan anak muda.

Amalan perubatan tradisional orang Melayu juga ada pengaruh masyarakat India, misalnya daun semambu atau bambu digunakan bagi merawat demam campak.

Mengikut petua, pengidap demam campak boleh dirawat dengan memandikannya dengan air daun semambu yang dikisar dan dicampur bedak sejuk di seluruh badan. Selain itu, daun semambu juga dijadikan alas tidur pesakit demam campak. Petua sama juga diamalkan masyarakat India.

Selain itu, banyak masukan kata bahasa Melayu berasal daripada bahasa Tamil antaranya ‘kakak’ berasal perkataan ‘akka’, kedai (kadai), purba (purva), bumi (bhumi), suria (surya), raja dan tali.

Masyarakat majmuk

Dr Yusmilayati menganggap persamaan itu sedikit sebanyak mewarnakan lagi budaya dan gaya hidup masyarakat Malaysia.

“Tidak salah menerima budaya kaum lain lebih-lebih lagi dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia asalkan tidak bertentangan atau disesuaikan dengan kehendak Islam.

“Tidak kira apa kaum sekalipun, mereka menjadi sebahagian daripada kita dan pengaruh yang dibawa memainkan peranan mencorak gaya hidup masyarakat Malaysia hari ini,” katanya.

Setiausaha kehormat Malaysia Hindu Sangam Kebangsaan mengakui banyak amalan masyarakat Melayu mempunyai persamaan dengan kaum India tetapi berbeza dari sudut tertentu.

“Kalau kita lihat beberapa perkara yang dilakukan seperti bersanding dalam perkahwinan, amalan memakan sirih pinang dan penggunaan rempah dalam masakan sudah menjadi perkara biasa dalam masyarakat kita di Malaysia.

“Jika kita lihat kandungan amalan turut berbeza sebagai contoh belah mulut bayi yang baru lahir. Bagi masyarakat India, kami gunakan susu dan madu yang diletakkan di lidah bayi tetapi orang Melayu menggunakan kurma,” kata Genesan Thangavelu.

Dari sudut kesenian pula, beliau berkata kedua-dua masyarakat mempunyai pelbagai jenis tarian yang memiliki keunikan tersendiri dari segi gerakan dan muzik yang menghidupkan lagi persembahan.

Genesan berkata walaupun terdapat perbezaaan yang diamalkan dalam budaya kedua-dua kaum tetapi ia sebenarnya menunjukkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Keharmonian ini adalah kelebihan masyarakat yang ada di Malaysia. Walaupun ada perbezaan ia tidak menjejaskan kita untuk saling menghormati adat dan budaya kaum lain,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sembilan jemaah tabligh Malaysia pulang dari India

PUTRAJAYA, 24 OKT: Sembilan jemaah tabligh selamat tiba dari India semalam melalui penerbangan Air India Express, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar.

Kamarudin berkata dua daripada mereka menaiki penerbangan Air India Express dari New Delhi, India dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 3.30 petang, manakala tujuh lagi menaiki penerbangan Air India Express dari Tiruchirappalli, India dan selamat tiba di KLIA pada pukul 6.58 petang.

“Dengan kepulangan sembilan ahli jemaah ini, Kementerian Luar berjaya membawa pulang seramai 170 daripada 189 orang ahli jemaah tabligh yang berada di India.

“Sebelum ini, seramai 161 jemaah tabligh rakyat Malaysia dibawa pulang menerusi beberapa siri Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang dilaksanakan sejak Julai lepas,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kamarudin yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 berkata semua ahli jemaah tabligh yang pulang diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari di Stesyen Kuarantin, sejajar dengan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata sehingga hari ini, masih terdapat 19 ahli jemaah tabligh yang berada di India di mana daripada jumlah ini, 10 individu yang berada di New Delhi selesai menjalani proses perundangan dan dibebaskan daripada pertuduhan mahkamah, manakala baki sembilan yang lain masih menjalani prosedur perundangan di Bihar, India.

“Penyelarasan usaha membawa pulang mereka sedang dilakukan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi.

“Kementerian Luar memantau rapat perkembangan ahli jemaah tabligh rakyat Malaysia di India dan berterusan memberikan bantuan konsular yang sewajarnya bagi memastikan hak dan kebajikan mereka terpelihara,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Luar juga akan meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di India dalam usaha memudahcara urusan pulang baki 19 ahli jemaah tabligh yang masih berada di negara itu.

Kamarudin turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi kerajaan yang terlibat, terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Kementerian Kesihatan di atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan misi membawa pulang jemaah tabligh rakyat Malaysia di India.

“Kerajaan Malaysia turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan India dalam membantu urusan kepulangan mereka,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

India kekal destinasi eksport utama minyak sawit

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: India akan kekal sebagai destinasi eksport utama bagi pengeluar minyak sawit terbesar di dunia – Indonesia dan Malaysia, untuk jangka masa yang akan datang berikutan masa yang diambil bagi India untuk meningkatkan dan memodenkan sektor pertaniannya, Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa.

Beliau berkata sektor pertanian negara itu sangat bergantung kepada hujan untuk tanaman.

“Sawit memerlukan banyak hujan untuk menghasilkan hasil yang optimum dan ketiadaan hujan selama lebih daripada dua bulan akan menjejaskan hasil. Ini akan meningkatkan kos (pengeluaran),” katanya kepada Bernama.

Sathia berkata India akan menghasilkan sawit sendiri kerana kebergantungannya yang tinggi terhadap import berharga berbilion dolar US dan kenyataan daripada perdana menteri negara itu menggambarkan betapa pentingnya perkara tersebut susulan defisit dihadapi India daripada cabaran ekonomi dan pandemik Covid-19 telah memburukkan keadaan.

“Apa yang penting, Malaysia tidak boleh berpuas hati dan perlu terus memperluas kedudukan pasarannya ketika ini dengan memeterai perjanjian dua hala, mempergiatkan penyelidikan dan meningkatkan kerjasama,” katanya.

Kelmarin, Bernama melaporkan bahawa Perdana Menteri India Narendra Modi telah meminta pekebun di bahagian timur laut negara itu untuk membangunan perladangan minyak sawit berperanan sebagai pasaran terjamin untuk komoditi yang diimport.

Modi dinasihati para saintis pertanian dan ahli ekonomi mengenai potensi perladangan minyak sawit di wilayah timur laut negara itu yang akan membantu India untuk membangunkan sendiri komoditi tersebut.

“Saya meminta semua kerajaan negeri di bahagian timur laut untuk membangunkan misi olein sawit di negeri masing-masing,” kata Modi menerusi satu persidangan video.

Kumpulan perdagangan India yang mewakili pengekstrak minyak bijian, Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA) menyokong langkah Modi itu kerana ia akan mengurangkan import.

Presiden SEA, Atul Chaturvedi berkata kawasan tanah sesuai untuk perladangan minyak sawit akan berkembang kerana isu itu sekarang telah mendapat perhatian anggota kerajaan.

India telah mengenal pasti sekitar dua juta hektar tanah yang sesuai untuk penanaman minyak sawit. Ia dapat menghasilkan sehingga lapan juta tan minyak sawit.

Antara negeri yang telah dikenal pasti ialah Arunachal Pradesh, Assam dan Mizoram di bahagian timur laut.

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata ketika Malaysia berharap agar India terus membeli minyak sawitnya, Malaysia akan membantu kerajaan India secara teknikal dalam usaha mereka membangunkan minyak sawit menggunakan khidmat pakar teknikal berkaitan amalan pertanian yang baik, serta pembangunan minyak sawit mampan.

Bagaimanapun, Ahmad Parveez berkata bahawa keadaan iklim di India mungkin menjadikan usaha mereka untuk meningkatkan produktiviti minyak sawit menjadi satu cabaran besar.

-BERNAMA