Categories
NASIONAL

Tiada menteri tahu hal 1MDB kecuali Najib, bagaikan ‘operasi rahsia’

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Tiada siapa dalam kabinet yang tahu perihal mengenai 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) melainkan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, berkata kenyataan itu lebih jelas terbukti selepas bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah membangkitkan isu panas itu semalam.

Katanya, senarai panjang soalan Husni menunjukkan beliau tidak dimaklumkan tentang hal berkaitan 1MDB sebelum ini.

“Saya percaya, Ahmad Husni sudah bertanyakan segala persoalan 1MDB ketika dalam kabinet namun tidak memperoleh sebarang jawapan.

“Ini adalah sesuatu yang menyedihkan apabila Menteri Kewangan Kedua pun dirahsiakan daripada maklumat penting 1MDB.

“Ia bermakna 1MDB ini seolah-olah satu operasi rahsia yang hanya diketahui oleh seorang sahaja dalam kabinet iaitu PM yang jua Menteri Kewangan,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Ahmad Husni semasa perbahasan ucapan Bajet 2017 antara lain menggesa Kerajaan Persekutuan menyatakan sebab 1MDB ditubuhkan.

Beliau juga mahu tahu sama ada sebarang tindakan diambil terhadap pengurusan 1MDB kerana menyalurkan dana syarikat pelaburan itu ke tempat yang salah.

Pada April 2009, Ahmad Husni dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua, iaitu beberapa bulan sebelum perjanjian utama 1MDB dengan PetroSaudi terjalin.

Walau masih kekal ahli Umno, Ahmad Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun meletak jawatan dari kabinet dan melepaskan semua jawatan dalam parti itu pada Jun lalu.

EZY