Categories
NASIONAL

Tun M: Tolak Umno BN seluruhnya pada PRU-14

OLEH NAZLI IBRAHIM

MELAKA, 11 OKT: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed menggesa rakyat menolak Umno dan Barisan Nasional (BN) secara menyeluruh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Katanya hanya menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak daripada kerusi Perdana Menteri tidak menyelesaikan masalah kecelaruan politik dan ekonomi yang berlaku dalam negara ketika ini.

“Pada mulanya saya percaya jika Najib disingkir Umno boleh pulih semula tetapi saya dapati Umno sudah begitu busuk, buruk sehingga tak boleh diperbaiki lagi sebabnya Najib adalah perasuah.

“Dia percaya ‘cash is king’. Dia percaya duit boleh beli rakyat Malaysia,” katanya di hadapan kira-kira lebih 1,000 pada Siri Jelajah Penerangan 1MDB – 1 Malaysia Dalam Bahaya di Taman Paya Dalam di sini, malam tadi.

Jelas Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, faktor itu juga menjadi pendorong utamanya berusaha menumbangkan Umno walaupun pada satu masa beliau sendiri pernah menjadi Presiden Umno.

Katanya lagi, rakyat harus bangkit dan memainkan peranan masing-masing pada PRU-14 bagi menyelamatkan negara ini daripada terus dirosakkan Najib.

Jelasnya, Najib turut didakwa menjual negara sedikit demi sedikit untuk membayar hutang negara di bawah pentadbirannya.

Kata Dr Mahathir lagi keadaan itu menyebabkan Malaysia dilabelkan sebagai negara korup di kalangan negara asing dan memberi kesan terhadap ekonomi negara.

EZY