Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Amal makanan sunnah & ‘study smart’ rahsia pelajar cemerlang PSRA

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LANGAT, 16 NOV : Tidak hanya tertumpu kepada pembelajaran di sekolah sepenuhnya, pelajar cemerlang Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA), Muhammad Amir Rafiq Rahmat mengamalkan pemakanan sunnah agar dirinya sentiasa berfikiran cerdas.

Pelajar SRA Al Husna Taman Universiti Indah Petaling itu berkata, ketaatan kepada Allah, ibu bapa dan guru-guru perlu diamalkan pelajar demi mendapat keberkatan dalam menuntut ilmu.

“Saya berasa sangat gembira dan bersyukur atas kejayaan ini. Berkongsi tips kejayaan, saya juga seperti pelajar lain yang turut mengulangkaji pelajaran sebelum peperiksaan.

“Namun saya juga mengamalkan pemakanan sunnah seperti kurma, kismis dan melakukan solat hajat untuk dipermudahkan segala urusan.

“Tidak dilupakan juga sebagai pelajar kita perlu menghormati ibu bapa dan guru-guru yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada saya,” katanya.

Sementara itu Ruqayyah Nur Muhammad, pelajar KAFAI Darus Salim pula berkata, beliau persediaan menduduki peperiksaan perlu dibuat terlebih awal supaya proses penerimaan ilmu lebih mudah diterima.

“Belajar seperti biasa, cuma jangan terlalu tertekan. Belajar ikut jadual secara konsisten.

“Selain itu, faktor kejayaan ini juga didorong oleh sokongan kuat daripada ibu dan ayah yang sentiasa akan menegur saya kalau saya terleka atau terlupa untuk mengulangkaji,” katanya.

Muhammad Amir dan Ruqayyah masing-masing dianugerahkan pangkat Mumtaz dan membawa pulang Trofi berserta Sijil Kecemerlangan hasil daripada kejayaan itu.

Pengumuman keputusan tersebut dibuat pada Majlis Pengisytiharan Keputusan PSRA di SRAI Sungai Manggis, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam (JAIS), Dato’ Haris Kassim, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JAIS, Mohamad Amir Danuri.

Dalam perkembangan itu, jumlah kelulusan keseluruhan peperiksaan itu mencatatkan penurunan jumlah dengan 89.6 peratus membabitkan 39,782 calon berbanding jumlah kelulusan tahun lalu, 89.8 peratus.

EZY