Categories
NASIONAL

An-Nur, pejuang pesakit Cerebral Palsy meninggal dunia

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 NOV: Pesakit Cerebral Palsy (CP) atau lumpuh otak, An-Nur Mohd Affandi, 13, yang mendapat perhatian media sejak kempen ‘Hope2Walk’ kira-kira empat tahun lalu meninggal dunia, lewat malam tadi.

Perkara itu dikongsikan ibunya, Raja Rohaisham Raja Muhaiddin di Facebook, awal pagi tadi.

“Anakanda saya An-Nur Mohd Affandi meninggal dunia, pada jam 12.58 malam tadi di Hospital Serdang,” tulisnya.

Jenazah yang kini berada di kediamannya di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi akan dikebumikan di tanah perkuburan Sungai Kantan, Kajang sebelum Solat Jumaat, hari ini.

Sementara itu, Sukarelawan Media ‘Hope2Walk’, Faizal Riduan menyifatkan An-Nur sebagai simbol perjuangan mendapatkan hak rawatan khusus, sistem sokongan dan hak bersekolah bagi pesakit CP.

“An-Nur dan kakaknya, Annisa Mohd Affandi yang juga pesakit CP menarik minat masyarakat Malaysia yang prihatin mendanai Tabung Harapan Annisa dan Annur bagi mendapatkan rawatan pakar di Hospital Erkang, Beijing, China, pada 2012.

an-nur“Bagaimanapun, Annisa meninggal dunia beberapa bulan sebelum misi itu. Kisah perjuangan hidup mereka didedikasikan dalam buku ‘Surat Untuk Anak’,” katanya.

Faizal berkata, An-Nur juga pernah membuat kemunculan di Parlimen bersama aktivis ‘Hope2Walk’ bagi menyerahkan memorandum kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Oktober 2013 menuntut hak untuk bersekolah bagi kanak-kanak yang sakit terlantar.

Katanya, An-Nur juga pernah membintangi drama dokumentari, ‘Anur Nak Sekolah’ untuk Freedom Film Fest 2014.

“Kepada Allahyarham Annisa dan An-Nur, terima kasih kerana memberi kesedaran kepada semua rakyat Malaysia bahawa kanak-kanak OKU terlantar mempunyai suara sama seperti kanak-kanak normal lain dan tidak wajar untuk terus disenyapkan dan dibungkam. Al-Fatihah,” katanya.

-AA-