Categories
NASIONAL

Polis beri masa sehingga 2 petang serah diri

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 NOV: Polis memberi tempoh sehingga jam 2 petang ini kepada 10 individu yang terbabit dalam rusuhan di luar bangunan Parlimen semalam, untuk menyerah diri.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, jika semua individu terbabit gagal berbuat demikian, polis akan menangkap mereka.

“Jika mereka tidak datang dan tidak menyerah diri, kita akan tangkap mereka. Kami tahu siapa mereka dan di mana mereka berada,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman.

Khalid berkata, polis juga akan memutuskan sama ada mahu mengambil tindakan ke atas ahli parlimen berkenaan yang membawa kumpulan itu ke dalam kawasan Parlimen.

Semalam, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad diserang perusuh ketika beliau menghampiri bangunan utama Parlimen.

gaduhshahal-transformedBagaimanapun, beliau bernasib baik apabila diselamatkan pegawai keselamatan, sekali gus menghalang kejadian menjadi lebih serius.

Kira-kira 30 lelaki pada mulanya hanya mengganggu Khalid, menjerit “hidup Pasir Salak”, namun insiden itu bertukar ganas selepas salah seorang daripada mereka jatuh di hadapan beberapa pegawai keselamatan Parlimen.

Kumpulan rusuhan itu mengejar Khalid dan pegawai keselamatan dapat melindunginya daripada sebarang kejadian tidak diingini.

Serangan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian di Dewan Rakyat pada Isnin, apabila Khalid memanggil Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman sebagai ‘sial’.

-AA-