Categories
SUKANKINI

Bekas Pengadil FAS tubuh akademi Bola Sepak

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 28 NOV : Tanpa bantuan penaja atau sumber tajaan kewangan tertentu daripada mana-mana individu, bekas pengadil Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Azhar Nordin menubuhkan Akademi Bola Sepak Pelabuhan Klang.

Beliau berkata, akademi dinamakan Projek Pembangunan Bola Sepak Tunas Kampung Raja Uda (PPBT KRU) itu mula beroperasi sejak 2 April lalu dengan penyertaan 33 pemain berumur antara tujuh hingga 15 tahun.

“PPBT KRU beroperasi sebagai sebuah akademi bola sepak yang mengutamakan pembangunan diri golongan muda dalam sukan itu dengan menggunakan motto pintar, aktif dan positif untuk membentuk pemikiran tepat.

image-1“Kami membangkitkan semangat dalaman setiap pemain dengan memahami setiap tujuan perkara yang dibuat, menguasai teknik diajar dan melakukan tindakan tanpa nanti,” kata Azhar kepada SelangorKini.

Azhar sebelum ini pernah memiliki lesen awalan jurulatih dan berpengalaman di peringkat akar umbi bola sepak sebagai pengadil tempatan lebih 20 tahun.

Beliau juga adalah penulis buku mini bola sepak magnet kejayaan tentang asas psikologi dalam bola sepak.

Bercakap lanjut Azhar berkata, matlamat utama penubuhan akademi tersebut juga dilaksanakan sebagai medium membangunkan modal insan, selain sebagai inisiatif memberi manfaat kepada masyarakat awam.

“Disebabkan bukan semua pemain berbakat mampu menyertai akademi bola sepak, maka kami mengutamakan yang berminat.

image-2“Kami bersyukur ada di antara mereka (pemain) yang menyertai akademi ini benar-benar boleh dilatih dan berbakat.

“Di PPBT KRU pemain bukan sahaja didedahkan dengan teknik asas dalam bola sepak tetapi kami menggunakan formasi bola sepak untuk pembangunan diri pemain yang sebenar,” katanya.

Dalam perkembangan itu, ibu bapa sekitar Pelabuhan Klang yang berminat untuk menghantar anak-anak untuk menyertai akademi ini boleh menghubungi di talian 019 2657335/011 27003005 atau email ke [email protected].

-nR-