Categories
SELANGOR

‘Gaduh’ dalam Dewan untuk rakyat, DNS amal prinsip keterbukaan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 NOV : Tidak timbul wujudnya perselisihan faham membabitkan pimpinan Ahli Dewan Negeri (ADN) dan Exco Kerajaan Negeri sebagaimana dakwaan sesetengah pihak terhadap pentadbiran negeri.

Membidas kenyataan tersebut, ADN Kota Anggerik, Yaakob Sapari berkata, perdebatan membabitkan pimpinan kerajaan di Sidang Dewan Negeri (DNS) hanya berlaku di dalam Dewan demi membincangkan kelangsungan kebajikan rakyat.

Beliau berkata, isu perbahasan bersifat terbuka demi memastikan rakyat mendapat manfaat sewajarnya hasil urus tadbir ketelusan pimpinan negeri.

“Keistimewaan Dewan Negeri Selangor kami membenarkan setiap Anggota Dewan membahaskan segala isu rakyat secara bebas.

dns-eli“Kerap kali Dato’ Menteri Besar mahupun Exco diasak secara bertubi tubi dari Ahli Dewan Negeri. Ini semua demi kepentingan rakyat,” tulisnya menerusi catatan di Facebook.

Terdahulu, media pro Umno yang melaporkan kononnya wujud perselisihan faham antara Yaacob dan Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berhubung isu pencemaran air negeri.

Bagaimanapun, Yaacob menafikan wujud perselisihan tersebut dengan memuat naik beberapa keping gambar beliau dan Exco negeri besama pimpinan Pakatan selepas sidang DNS berakhir.

Mengulas isu yang sama, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad pula berharap semua perbincangan di DNS dapat dimanfaatkan semua pimpinan termasuk ADN pembangkang.

“Sidang Dewan telah berakhir pada hari Khamis lepas selepas sembilan hari bersidang. Saya berpeluang menjawab 12 pertanyaan dan memberi penjelasan kepada berpuluh-puluh perkara berkaitan potfolio saya.

“Jadual sesi pertanyaan dan sesi penggulungan diketahui. Gunalah sesi tersebut. Jangan pukul curi,” katanya.

EZY