Categories
NASIONAL

Kemenangan Trump jadi pengajaran

OLEH NOHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 NOV: Pengundi muda di negara ini perlu mengambil iktibar daripada Pilihan Raya Pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-45, baru-baru ini sebagai persediaan menjelang Pilihan Raya Umum ke- 14 (PRU14).

Pengarah Strategi KEADILAN, Sim Tze Tzin berkata, hal itu kerana pengundi muda adalah aset penting untuk menentukan kemenangan parti pilihan mereka.

“Menerusi kemenangan Donald Trump, semua pihak melihat kemenangan itu majoritinya bukan golongan muda.

“Begitu juga isu Brexit. Kita tidak mahu golongan ini menyesal selepas pemilihan nanti. Bila tidak mengundi, masa depan ditentukan golongan tua,” katanya kepada SelangorKini.

Tze Tzin berkata, isu terbabit adalah pengajaran penting untuk orang muda menilai dan mengambil tindakan.

izzahSementara itu, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar mahu pengundi dalam kalangan muda tidak disia-siakan, tambahan mereka adalah pengundi majoriti dalam PRU14.

Katanya, sejumlah empat juta anak muda layak mengundi di negara ini dan golongan terbabit perlu diberikan kesedaran awal.

“Dalam pilihan raya AS, lebih 46 peratus pengundi muda layak mengundi tetapi tidak mengundi sedangkan rata-rata mereka memilih Hilary Clinton.

“Kita mempunyai empat juta anak muda, jadi sudah sampai masa untuk mereka menilai perkara ini dengan baik. Undi menentukan masa depan orang muda,” katanya.

-AA-