Categories
NASIONAL

BERSIH tak minat layan geng baju merah

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 14 NOV: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) tidak pernah berniat melawan kumpulan baju merah, sebaliknya lebih berminat menuntut pembaikan sistem politik dan institusi negara.

BERSIH dalam kenyataan berkata, pihaknya akan terus fokus dengan perjuangan dan tuntutan yang dimahukan rakyat antaranya skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang perlu diselesaikan.

“Peserta konvoi BERSIH tidak berminat melayan mereka (baju merah). Mengapa? Kerana tujuan kami bukan untuk melawan gangster.

“Tujuan kami untuk menuntut akauntabiliti skandal korupsi 1MDB dan pembaikan sistem politik juga institusi negara,” katanya.

Baru-baru ini, berlaku insiden pertempuran antara peserta BERSIH dan baju merah di dua lokasi berbeza iaitu Pusat Beli-belah Ampang Point dan Hulu Langat.

jamalWalaubagaimanapun, peserta BERSIH diserang ketika mengedarkan risalah hingga menyebabkan kecederaan dan Ketua Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos mendakwa ditumbuk di hidungnya.

Mengulas lanjut, BERSIH berkata, mereka dihentikan Gerakan Baju Merah dan seorang petugas keselamatan juga ketua koordinator ditumbuk.

“Kekacauan turut berlaku di Rawang dan Ampang, diketuai ketua gangster negara Jamal Yunos selain kejadian sama di Labuan, Tanjung Malim, dan Bangi.

“Jelas sekali baju merah UMNO berani buat provokasi tetapi takut pula dirakam kamera, justeru kami menyeru pihak polis untuk mengambil tindakan tegas,” katanya.

-AA-