Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tiba masa Selangor tuntut Putrajaya tambah kewangan negeri

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 2 NOV: Kerajaan Selangor digesa membawa usul bagi menambah sumber kewangan negeri kepada Majlis Kewangan Negara melalui pemerkasaan Hak Kewangan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, hal itu kerana Selangor hanya menerima ‘capitation grant’ RM64.28 juta atau setara RM11.47 bagi seorang rakyat Selangor daripada Kerajaan Persekutuan.

Beliau mencadangkan jumlah terbabit dinaikan daripada RM11.47 kepada RM200 seorang berdasarkan bilangan penduduk negeri 6.14 juta, sekali gus menjamin pemberian RM1.23 billion setahun kepada Kerajaan Negeri.

“Walaupun Selangor menyumbang 22.6 peratus atau melebihi RM240 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berbanding Kuala Lumpur (15.1%), pada 2015, namun jumlah diterima masih kecil.

“Memandangkan Selangor juga adalah penyumbang terbesar kepada pendapatan Kerajaan Persekutuan, maka sudah tiba masanya satu usul menambah sumber kewangan negeri dicadangkan kepada Putrajaya,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Negeri 2017.

img_4667-1024x683Pada masa sama, Wan Azizah berkata, jika ditambah, unjuran perbelanjaan dalam Belanjawan Negeri 2017 boleh meningkat kepada RM4.68 bilion yang pasti akan merancakkan lagi pembangunan negeri.

“Dengan penambahan ini, sudah tentu akan lebih banyak peruntukan untuk program juga inisiatif sedia ada seperti diumumkan Kerajaan Negeri.

“Ini bukan lagi ‘hadiah’ tetapi hak ekonomi juga kewangan rakyat yang sudah sekian lama bekerja keras menyumbang kepada konsep Persekutuan dan Federalisma suoaya kekal utuh,” katanya.

-AA-