Categories
NASIONAL

“Kenapa Malaysiakini jadi musuh utama negara?”

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 NOV: Tindakan polis menyoal siasat Malaysiakini kononnya atas dakwaan tindakan mereka memudaratkan demokrasi berparlimen dikritik Naib Presiden KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Katanya, tindakan polis menjalankan siasatan terhadap Malaysiakini menunjukkan polis mengamalkan ‘double standard’ sedangkan geng Baju Merah melemparkan ugutan jenayah untuk meruntuhkan separuh bangunan portal media terbabit.

“Lebih malang lagi, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengambil pendirian tunggu dan lihat sehingga Jamal benar-benar meruntuhkan bangunan Malaysiakini.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan polis menyoal siasat Malaysiakini di bawah Seksyen 124c Kanun Keseksaan Jenayah kononnya atas dakwaan tindakan mereka memudaratkan demokrasi berparlimen,” katanya dalam kenyataan.

Shamsul berkata, siasatan yang dikenakan terhadap Malaysiakini ekoran menerima dana dari luar negara adalah sangat tidak relevan.

Katanya, hal itu kerana Malaysia tidak memperuntukan dalam undang-undang yang menghalang derma dari luar negara dan tidak menjadi kesalahan di bawah mana-mana undang-undang terpakai di Malaysia.

jamal-malaysia-kini“Malahan, Perdana Menteri sendiri didakwa menerima derma dari Arab Saudi walaupun alasan yang diberikan adalah ihsan kerajaan di sana.

“Jika dilihat pada kedua-dua keadaan, menerima dana dari luar negara tidak salah di sisi undang-undang,” katanya.

Beliau mendakwa, pemakaian Seksyen 124c terhadap Malaysiakini jelas bermotifkan politik dan menggugut kakitangan menjalankan tugas sebagai media yang bebas dan tidak prejudis.

“Sememangnya tugas wartawan adalah untuk melaporkan beritadengan bebas selaras peranan media memperkukuh amalan demokrasi.

“Malaysiakini selaku media alternatif, melaporkan berita yang tidak disiarkan di media arus perdana dimiliki UMNO-BN menghentam portal itu sebagai musuh utama negara,” katanya.

Shamsul turut menyifatkan siasatan terbabit sebagai ancaman untuk membunuh kewartawanan yang bebas, adil dan seimbang.

“Siasatan ini juga satu ancaman kepada demokrasi dan negara akan terus menghadapi defisit demokrasi bila mana kerajaan mengugut wartawan dengan undang-undang zalim selepas The Malaysian Insider menerima nasib sama sebelum ini.

“Saya menggesa polis menghentikan siasatan dan tidak mengganggu Malaysiakini yang hanya menjalankan tugas sebagai masyarakat sivil melaporkan berita tanpa prejudis kepada mana-mana pihak,” katanya.

-AA-