Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

ABIM: Belanjawan Selangor mesra ekonomi berbanding Putrajaya

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 10 NOV: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyokong pembentangan Belanjawan Selangor 2017 yang disifatkan ekonomi bijak dalam memastikan pembangunan negeri dipacu lebih tangkas.

Presiden ABIM, Mohamad Raimi Abdul Rahim berkata, perbezaan belanjawan di peringkat pusat dan negeri dapat dilihat dengan jelas daripada segi konteks peratusan untuk pembangunan mahupun pengurusan.

“Ia satu tindakan berani dan berhemat dari Kerajan Negeri meletakkkan 57 peratus peruntukan untuk pembangunan dan ini jauh berbeza dengan peruntukan besar Kerajaan Persekutuan untuk pengurusan.

“Itu adalah satu dasar ekonomi bijak untuk kita memastikan bahawa pembangunan negeri dapat dipacu dengan lebih tangkas dan jelas juga cukai diterima Kerajan Negeri kembali kepada rakyat,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Raimi berkata, komitmen Kerajaan Negeri terhadap dua perkara lain iaitu pendidikan dan kesihatan mampu meringankan beban rakyat yang kini berdepan kos sara hidup tinggi.

Mengambil contoh peruntukan peruntukkan RM124 juta bagi kesihatan, beliau berkata, langkah itu bijak ekoran menfokuskan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) iaitu kelompok yang paling memerlukan.

344a4734“Kerajaan Negeri memberi perhatian penuh dalam pendidikan dengan meletakkan peruntukan tinggi untuk biasiswa iaitu RM10 juta, manakala Kerajaan Persekutuan mengurangkan peruntukan biasiswa dan penghantaran pelajar ke luar negara.

“Maklum balas yang kita terima daripada pelajar juga amat baik kerana mereka menerima manfaat tinggi dan difahamkan bilangan permohonan biasiswa melebihi jumlah ditawarkan.

“Ini bermakna permintaannya cukup tinggi dan peningkatan peruntukan itu selari kehendak dan keperluan semasa,” katanya.

Raimi turut membangkitkan isu kesejahteraan ekonomi belia yang kurang diberi perhatian Kerajaan Persekutuan terutama dalam konteks pembelian aset seperti rumah.

“Kerajan Negeri memberi perhatian dengan menyediakan insentif pembelian rumah yang lebih realistik dan praktikal jika dibandingkan dengan projek ditawarkan Kerajaan Persekutuan.

“Nampaknya Kerajaan Persekutuan masih gagal lagi menawarkan sesuatu yang bermakna untuk generasi muda memiliki aset penting,” katanya.

-AA-