Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Konvensyen Wanita martabat keadilan sosial

OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 22 NOV: Usaha menyokong agenda Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) diteruskan Kerajaan Negeri menerusi Konvensyen Wanita Selangor (KWS) 2016.

Bertempat di sebuah hotel di sini, majlis perasmian disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dengan diiringi Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi.

Seramai 570 wanita daripada sektor awam dan swasta menyertai konvensyen yang memasuki kali kedua penganjurannya ini.

Antara yang menarik sesi perbincangan bertajuk ‘Sustainable Development Goals’ menampilkan Pengurus Program Kesaksamaan Gender dan Pemberdayaan Wanita, Program Pembangunan PBB, Suriani Kempe dan Peguambela Wanita, Dr Cecelia Ng.

Selain itu, wakil Bahagian Pembangunan Wanita PBB, Koh Miyaoi mengelola sesi kedua, Political and Economic Empowerment of Women: UNDP Experiences in South East Asia’.

Selepas makan tengah hari, sesi bersambung dengan forum Pemberdayaan dan Kepimpinan Wanita dalam organisasi yang disertai barisan pimpinan wanita negeri.

Barisan panel terdiri daripada Yang Di Pertua (YDP) Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Noraini Roslan, Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Norita Mohd Sidek dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care (MyCare) Malaysia Berhad dan Pengurus Kanan AVON, Mazni Abdullah.

Konvensyen diakhiri ulasan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dan Pembentangan Resolusi oleh Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Pada 25 September 2015, pemimpin dunia menandatangani Sustainable Development Goals (SDG) 2030 Agenda PBB yang menggariskan 17 matlamat perlu dicapai.

Matlamat kelima menggariskan kesaksamaan gender bagi memastikan kesaksamaan antara lelaki dan wanita bagi mewujudkan keadilan sosial masyarakat dunia.

=EZY=