Categories
BERITA UTAMA PENDIDIKAN SELANGOR

Kurikulum Al-Quran & As-Sunnah teras pendidikan sekolah integrasi

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 NOV: Teras pendidikan sekolah agama aliran integrasi seluruh negeri menekankan prinsip kurikulum berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pelaksanaannya seiring tuntutan pemerkasaan prinsip ditetapkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Kurikulum berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah terus menjadi sandaran dan rujukan utama teras pendidikan utama dalam pembelajaran Islam di sekolah agama seluruh Selangor.

“Pentafsiran ini diharap mampu melahirkan pelajar bersahsiah tinggi dan berakhlak mulia seiring tuntutan ditetapkan dalam agama.

“Pada masa sama, ketetapan ini diharap mampu menjadi kayu ukur untuk menilai sejauh mana pencapaian kurikulum ini dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) di SRAI Sungai Manggis, di sini, semalam.

Terdahulu, enakmen atau keputusan berhubung penyebaran fahaman bertentangan dengan prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah telah ditetapkan di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Ketetapan itu seiring dengan titah DYMM baginda Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang menuntut agar pegangan itu dilaksanakan bagi mengelakkan penyebaran fahaman radikal.

Sebelum ini wujud kebimbangan masyarakat berhubung penyebaran dakwah yang tidak bertepatan dengan prinsip dan ajaran Islam di negara ini.

Ini termasuklah penularan dakyah dan ajaran sesat disebarkan pihak tidak bertanggungjawab di Selangor.

EZY