Categories
SELANGOR

Kurta Exco jadi tumpuan, Rumah Terbuka Deepavali Batu Caves meriah

OLEH ERMIZI MMUHAMAD

BATU CAVES, 13 NOV: Sambutan Majlis Rumah Terbuka Deepavali peringkat DUN Batu Caves dan Parlimen Gombak disambut meriah dengan dihadiri masyarakat pelbagai bangsa di Perkarangan Wisma Keringat Batu Caves, di sini.

Dianggarkan, lebih 1,000 tetamu hadir berpeluang menikmati pelbagai jenis juadah dan aneka sajian makanan tradisi masyarakat India.

Selain disajikan dengan persembahan artis budaya dan cabutan bertuah, Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari hadir memeriahkan majlis.

Menariknya, beliau turut menyampaikan duit raya kepada lebih 100 kanak-kanak serta menyampaikan hadiah cabutan bertuah dan turut menyantuni pengunjung yang hadir.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Caves tidak ketinggalan menggayakan pakaian tradisional masyarakat India, kurta bagi menunjukkan keharmonian bangsa di Selangor.

Beliau disarungkan bunga ‘malai’ sebagai simbolik meraikan tetamu dalam tradisi masyarakat India.

Hadir sama pada program malam tadi, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Suliman Abd Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Program, S. Manivannan dan ahli-ahli majlis.

EZY